Tuesday, October 16, 2012

Musuh Gaddafi dilantik PM baharu Libya




TRIPOLI 15 Okt. - Kongres Agung Kebangsaan (GNC) Libya melantik Ali Zeidan, musuh utama bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, sebagai Perdana Menteri baharu Libya, semalam.
Presiden perhimpunan kebangsaan, Mohammed Megaryef ketika mengumumkan perkara itu yang disiarkan secara langsung melalui televisyen berkata, Ali dikehendaki membentuk Kabinet dalam tempoh dua minggu.
Ali, 62, menerima 93 undi daripada sokongan Parti Perikatan Liberal, menewaskan Menteri Kerajaan Tempatan, Mohammed al-Hrari, yang mendapat 85 undi semasa pengundian pada perhimpunan itu, semalam.
GNC perlu meluluskan kerajaan yang dicadang Ali terlebih dahulu, sebelum beliau boleh memulakan tugasnya.
Ali akan mengambil alih jawatan itu daripada Abdel Rahim al-Kib, yang memegang jawatan tersebut sejak November lalu.
Ali berkata, keutamaannya kini adalah membentuk pasukan polis dan tentera profesional, sebagai memenuhi tuntutan penunjuk perasaan antimilitia yang mendesak penubuhan pasukan keselamatan profesional.
Beliau mencadangkan kempen pengambilan anggota dan latihan intensif bagi meningkatkan kedudukan tentera dan polis, melalui pengambilan anggota baru yang boleh menggantikan pegawai daripada rejim terdahulu.
Ali juga menekankan keadilan dan perdamaian sebagai keutamaannya berikutan ketegangan antara puak, terutama melibatkan antara bandar Misrata dan Bani Walid, yang meletakkan Libya di ambang perang saudara. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121016/lu_07/Musuh-Gaddafi-dilantik-PM-baharu-Libya#ixzz29U0Mspum
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment