23 Oktober 2012
SHAH ALAM - “Beliau patut tutup mulut, Soi Lek tidak patut campur tentang urusan agama lain,” kata Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata, kenyataan dikeluarkan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek itu langsung tidak tepat dan boleh memberi kesan terhadap keharmonian negara.
“Beliau tidak faham tentang hukum jenayah Islam tetapi sewenangnya mengeluarkan kenyataan yang bukan-bukan. Rasuah tidak termasuk dalam hudud, rasuah berada di bawah hukum takzir.
“Kenyataan dikeluarkan itu sangat celupar dan boleh mencetuskan provokasi agama. Hudud bukan perkara yang patut dipolitikkan, ini perintah ALLAH sebagai kewajipan untuk orang Islam,” katanya ketika mengulas kenyataan dikeluarkan Soi Lek yang mendakwa lapan daripada 11 negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat.
Soi Lek berkata demikian ketika berucap di perhimpunan agung MCA ke-59 kelmarin.
Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan turut menggesa Umno mengambil tindakan terhadap pemimpin MCA itu.
“Saya cabar beliau kemukakan bukti serta statistik yang sahih menyatakan negara yang mengamalkan hudud itu paling korup? Saya juga bersedia berdebat dengan beliau,” katanya.
No comments:
Post a Comment