Mustafa Ali
$entry.content.caption.value
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) sebulat suara membidas kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa mengundi pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang boleh diibaratkan memberi undi kepada George Soros, spekulator mata wang dan mendakwa bekas Perdana Menteri itu sudah hilang nilai intelek dan "dihambat bayang-bayang sendiri."
Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, kenyataan tidak masuk akal Dr Mahathir itu seakan-akan menjatuhkan standard beliau sendiri sebagai seorang bekas perdana menteri dan negarawan.
“Saya tidak sangka sama sekali beliau sanggup mengeluarkan kenyataan itu. Hujah beliau sudah seperti Ahli Jawatankuasa Kemajuan Kampung pula, tiada langsung nilai intelek,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Dr Mahathir, yang juga bekas Presiden Umno dan bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) mendakwa demikian dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam.
Dr Mahathir antara lain menyatakan bahawa Soros membiayai pertubuhan bukan kerajaan untuk membentuk "masyarakat sivil" bagi memberi peluang untuk "penjajahan" baru.

Tambah Mustafa, Dr Mahathir juga sudah terlalu terdesak untuk mendapat kembali sokongan rakyat negara ini apabila mula melihat sokongan kuat rakyat yang semakin menerima kepimpinan pembangkang.

Dalam pada itu, seorang lagi pimpinan kanan Pas, Salahuddin Ayub berkata, PR tidak akan membenarkan pengkhianatan berlaku dalam negara yang boleh menjejaskan kedaulatan negara.
Naib Presiden Pas itu berkata, hujah dikeluarkan Dr Mahathir adalah strategi terakhir bagi memancing undi rakyat untuk terus mengundi BN.
"Saya rasa perkara itu hanya perasaan bimbang Tun Mahathir, dia dihambat bayangan sendiri.
"Tak ada pemimpin PR yang akan benarkan pengkhianatan (digambarkan Dr Mahathir) akan berlaku, itu mungkin hujah terakhir buat dia bagi memancing undi rakyat dengan menakut-nakutkan mereka," katanya.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail turut menyelar kenyataan Dr Mahathir dan mendakwa kenyataan yang dibuat oleh bekas pemimpin negara itu sebagai pemikiran usang yang tidak lagi relevan untuk diguna pakai dalam arena politik negara ini.
“Semakin beliau lanjut usia, semakin menurun pula tahap pemikiran beliau.
“Bagaimana pula beliau boleh gambarkan peranan pihak asing dalam politik domestik?” soal Saifuddin.
Beliau menambah, Dr Mahathir tidak dapat menerima kenyataan yang polemik politik negara ini menunjukkan sokongan yang semakin kuat diberikan oleh rakyat kepada PR.

“Kalau beliau boleh beri kenyataan begitu, saya juga mahu beri kenyataan yang jika undi BN sama juga juga seperti undi syaitan,” tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Machang.

Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw pula menyindir dan mengambil sikap tidak mahu ambil pusing dengan kenyataan yang dibuat oleh Dr Mahathir itu kerana menganggap pemimpin itu sudah lama bersara dan tidak sepatutnya membuat sebarang kenyataan dalam arena politik negara.

“Sepatutnya bila sudah bersara, tidak perlulah membuat kenyataan yang bukan-bukan pula,” kata Ahli Parlimen Kepong ini.