NAPLES (Itali): Sebuah kapal Sweden membawa aktivis hak asasi manusia dari beberapa negara berlepas dari Naples semalam dalam usaha terbaru mereka memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza.
Sekumpulan penyokong menyaksikan pelepasan kapal Estelle itu dari pelabuhan sebagai sebahagian daripada gerakan Flotila Kebebasan.
Jurucakap kumpulan itu, Ann Ighe, berkata pelayaran itu dijangka tiba di Gaza dalam tempoh dua minggu, tetapi ia banyak bergantung kepada keadaan cuaca. Estelle yang dianjurkan gabungan antarabangsa penyokong rakyat Palestin membawa barangan keperluan harian untuk penduduk Gaza. Ia disertai 17 aktivis dari seluruh dunia, termasuk penumpang dan kru dari Kanada, Israel, Norway, Sweden dan Amerika Syarikat (AS).
Pelayaran Flotila Kebebasan pertama pada Mei 2010 berakhir dengan tragedi apabila sembilan warga Turki terbunuh selepas komando Israel menaiki kapal Mavi Marmara yang mengepalai misi itu.
Israel mendakwa, kepungan ke atas Gaza perlu dilakukan bagi menghalang senjata memasuki wilayah berkenaan yang ditadbir kumpulan Islam, Hamas. Menurut Ann, biasanya orang hanya teringat kepada Mavi Marmara apabila memperkatakan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Estelle sangat berbeza kerana ia dipilih untuk mengubah persepsi kempen kemanusiaan kami dan menunjukkan ia gerakan antikeganasan,” katanya. Dengan panjang hanya 53 meter, Estelle jauh lebih kecil berbanding Mavi Marmara dan boleh berlayar dengan kuasa enjin atau angin. Kata Ann, ia pernah digunakan aktivis alam sekitar Greenpeace serta misi kemanusiaan lain.
“Estelle adalah kapal keamanan,” katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment