Monday, October 8, 2012

PM Jepun lawat loji Fukushima



Tokyo: Perdana Menteri Jepun Yoshihiko Noda semalam mengunjungi stesen jana kuasa Fukushima di dalam usahanya untuk mencari jalan penyelesaian di kawasan yang dilanda bencana di sebalik keraguan terhadap dasar tenaga beliau.

Noda yang melakukan rombakan kabinetnya minggu lalu turut memberi semangat dan pujian kepada pekerja yang bertungkus lumus di loji berkenaan tahun lalu, ketika gempa bumi dan tsunami melanda kawasan itu.

“Saya percaya bahawa Jepun berjaya menangani bencana yang berlaku dan ini semua adalah hasil kerja dedikasi anda,” katanya kepada berpuluh-puluh orang yang bekerja di loji berkenaan selepas bencana melanda pada 11 Mac 2011.
Noda berkata, sebagai orang Jepun, beliau mahu mengucapkan terima kasih kerana usaha gigih yang dilakukan di kawasan dan persekitaran paling mencabar.

Gempa bumi dan tsunami memusnahkan sistem penyekukan loji jana kuasa Daiichi di Fukushima dan mengakibatkan bencana nuklear paling buruk sejak letupan loji Chernobyl pada 1986.

Loji itu yang terletak 220 kilometer ke timur laut Tokyo masih menghasilkan radiasi ke alam sekitar, menyebabkan berpuluh ribu penduduk terpaksa dipindahkan dari kawasan itu.

“Saya percaya kerja yang anda lakukan di barisan hadapan membolehkan kami meneruskan usaha untuk menghentikan operasinya,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment