Monday, October 8, 2012

5 bekas jeneral disebut jadi Presiden Indonesia

DARI atas kiri (ikut putaran jam), Wiranto, Irman, Djoko, Rizal dan Prabowo.
DARI atas kiri (ikut putaran jam), Wiranto, Irman, Djoko, Rizal dan Prabowo.


JAKARTA: Sekurang-kurangnya lima bekas jeneral yang masih berpengaruh sudah berada dalam kedudukan untuk menggantikan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dalam pilihan raya 2014, lapor akhbar di sini, semalam.
Penganalisis politik berpendapat, kemunculan mereka di pentas demokratik menunjukkan kegagalan parti politik menghasilkan pemimpin awam untuk bertanding jawatan tertinggi negara itu.

Antara yang menunggu untuk dicalonkan sebagai calon presiden termasuk pengerusi Dewan Permesyuaratan Wilayah (DPD), Irman Gusman; pengerusi Mahkamah Perlembagaan, Mahfud MD dan bekas Menteri Penyelaras Ekonomi, Rizal Ramli.

Dipujuk Gerindra

Irman dilaporkan dipujuk Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) untuk berganding dengan panglima Pejabat Strategik Tentera, Leftenan Jeneral (B) Prabowo Subianto. Irman juga mendapat sokongan tentera menerusi Forum Komunikasi bagi Anak Pesara Polis, Tentera atau FKPPI.

Parti Demokratik yang memerintah pula dikatakan menyokong dua calon lain iaitu Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Politik dan Keselamatan, Ketua Marsyal Udara, Djoko Suyanto dan pemerintah tentera, Jeneral Pramono Edhie Wibowo.
Parti Hari Nurani Rakyat (Hanura) pula berazam untuk mengetengahkan bekas pemimpin tentera dan Menteri Penyelaras bagi Politik dan Keselamatan, Jeneral (B) Wiranto. Pengerusi Hanura, Yuddy Chrisnandy berkata, Wiranto adalah orang paling layak menggantikan Susilo kerana pengalamannya dalam pentadbiran negara.

Pada masa sama, Gerindra turut merancang pelan lain dengan hanya mencalonkan Prabowo, bekas pemerintah tentera unit elit Kopassus kerana popularitinya yang semakin meningkat ketika ini berdasarkan beberapa tinjauan pendapat.

Belum tahu diterima rakyat

Satu lagi tokoh tentera yang bersedia bertanding dalam pilihan raya presiden ialah bekas panglima tentera, Jeneral (B) Endriartono Sutarto yang baru-baru ini diberi perhatian selepas menyertai Parti Nasional Demokrat (NasDem) dan mengumumkan kesediaan turut bersaing.

Daripada lima tokoh tentera berkenaan hanya Wiranto dan Djoko pernah memegang jawatan menteri. Wiranto panglima tentera ketika peralihan kerajaan Suharto kepada BJ Habibie selain bertugas sebagai Menteri Penyelaras bagi Politik dan Keselamatan ketika pemerintahan Presiden Abdurrahman Wahid.

Akhbar The Jakarta Globe melaporkan, belum diketahui sejauh mana hasrat lima tokoh berkenaan diterima penduduk Indonesia.

Mengikut undang-undang pilihan raya presiden, mana-mana calon perlu disokong parti politik atau beberapa parti yang menang 25 peratus undi dalam pilihan raya umum atau menguasai 20 peratus kerusi di Parlimen. - Agensi

No comments:

Post a Comment