MARI IKUT...pegawai yang menjalankan operasi memujuk beberapa lelaki gelandangan yang ditahan, semalam.
Lelaki dikenali sebagai Khalid Yeop, 49, berkata, dia bekerja sebagai pengutip besi buruk dan menjualnya di kaki lima.
Katanya, dia hanya mempunyai beberapa helai pakaian yang dijadikan teman hidup dan mencari kotak untuk mengalas tidur.
“Saya tidak pernah malu walaupun hidup begini, malah gembira kerana terdapat ramai rakan senasib yang menemani sebaik malam menjelma,” katanya ketika ditemui selepas operasi, di sini.
Khalid berkata, mereka gembira kerana ada insan prihatin menghulurkan makanan percuma apabila petang menjelma dan tidak perlu meminta sedekah.
Dalam Operasi Gelandangan Bersepadu yang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Alam Flora dan agensi lain itu, 59 orang termasuk 53 warga Malaysia, dua (Indonesia), tiga (Myanmar) dan seorang warga India ditahan.
Operasi bermula jam 10 malam hingga 1 pagi itu turut mengambil tindakan saringan terhadap lapan lelaki di bawah AADK dan lima di bawah JKM.
Melalui ops itu, mereka yang ditahan rata-rata tidak mampu menyewa rumah kerana berniaga kecil-kecilan di kaki lima.
Mereka sanggup tidur di kaki lima kerana memperoleh makanan percuma disediakan badan bukan kerajaan (NGO) setiap petang.
Ada juga yang cuba melarikan diri kerana takut ditangkap pihak berkuasa, namun ditahan.
Sementara itu, Ketua Penguatkuasa Operasi DBKL, Mohd Hisham Izhar berkata, faktor utama gelandangan sanggup tidur di kaki lima kerana makanan percuma diberikan NGO “Walaupun golongan gelandangan menunjukkan penurunan, ia masih membimbangkan kerana mereka kebanyakkan suka membuang sampah di merata-rata yang mencemarkan imej ibu kota,” katanya.
No comments:
Post a Comment