Monday, November 12, 2012

Turki tempatkan peluru berpandu Patriot di sempadan Syria

Turki tempatkan peluru berpandu Patriot di sempadan Syria:

ISTANBUL 11 Nov. - Turki merancang pelan kecemasan, antara lain menempatkan peluru berpandu Patriot di kawasan sempadannya dengan Syria.
Pelan dengan bantuan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu dibuat bagi mengukuhkan keselamatan di kawasan sempadan.
Presiden Turki, Abdullah Gul berkata, keadaan di Syria yang boleh memberi kesan kepada Turki menyebabkan negara ini mengambil langkah berjaga-jaga.
"Perbincangan sedang dijalankan dengan NATO daripada segi mempertahankan negara serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil," katanya pada Khamis lalu, ketika ditanya tentang kemungkinan Turki menempatkan Patriot di sempadan negara ini.
Rabu lalu, media Turki dan antarabangsa melaporkan kerajaan Turki meminta NATO menempatkan peluru berpandu Patriot di sepanjang kawasan sempadan dengan Syria, namun Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan menafikannya.
"Kami tidak membuat permintaan tersebut. Saya mahu jelaskan bahawa kami tidak berfikir atau sedang membuat keputusan membeli Patriot ketika ini," katanya semasa lawatannya ke Bali, pada minggu lalu.
Erdogan yang kelihatan marah dengan laporan tersebut menegaskan bahawa pegawai Kementerian Luar yang menjadi sumber maklumat itu tidak mempunyai hak untuk membuat kenyataan tersebut.
Ankara dilihat berhati-hati untuk mendedahkan mengenai kaedah pertahanan Turki dan turut menegaskan tidak mahu berperang dengan negara jirannya itu, yang berkongsi kawasan sempadan sepanjang 822 kilometer.
"Tidak menjadi persoalan sama ada Turki mempunyai niat untuk berperang dengan Syria atau tidak. Saya harap ia juga tidak menjadi persoalan bagi Syria untuk terlibat dengan tindakan tidak masuk akal terhadap Turki.
"Namun, bila terdapat keputusan saat akhir seperti ini, bila terdapat risiko yang berpotensi, tidak ragu-ragu lagi semua langkah pencegahan perlu diambil," kata Gul merujuk keputusan penggunaan Patriot.
Sistem peluru berpandu Patriot buatan Amerika Syarikat (AS) menjadi terkenal semasa Perang Teluk dan pernah digunakan untuk memintas peluru berpandu Scud, yang digunakan Iraq. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121112/lu_05/Turki-tempatkan-peluru-berpandu-Patriot-di-sempadan-Syria#ixzz2C1TRk6Lm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment