logo tabung gaza
Tabung Kemanusiaan Gaza.
'Israel ada agenda'
Mohd Puad (tengah) yang menerima simbolik cek dana Tabung Kemanusiaan Palestin, semalam dikelilingi penduduk yang sama-sama membantah kekejaman Israel.
BATU PAHAT – Gencatan senjata yang dilakukan tentera rejim Zionis dipercayai mempunyai agenda tersembunyi, bukan dilakukan kerana keikhlasan untuk hentikan peperangan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, gencatan senjata itu juga bukan disebabkan desakan antarabangsa sebaliknya untuk pilihan raya negara itu pada Januari tahun depan.

Beliau turut menegaskan, tindakan Israel itu amat diragui dan percaya ia hanya untuk menarik perhatian penduduk yang telah menolak kekejaman selama ini.

“Kita sememangnya tahu dasar Israel yang mahu menakluki bumi Palestin semenjak dahulu lagi, termasuk melakukan kekejaman terhadap penduduk Islam di situ. Saya turut percaya Israel lakukannya bukan atas dasar kemanusiaan dan desakan antarabangsa, tetapi bertujuan untuk meraih sokongan.

“Memang Israel dah buat gencatan itu, tetapi saya masih sangsi dan ragu-ragu dengan tindakan dilakukan mereka,” katanya kepada Sinar Harian ketika program Demonstrasi Selamatkan Bumi Palestin di Dataran Penggaram, di sini, semalam.

Pada program itu, kira-kira 800 penduduk sekitar daerah ini turut serta dan berjaya memungut dana Tabung Kemanusiaan Palestin, RM11,173.90.

Beliau turut berharap kerajaan terus memberi bantuan kepada umat Islam di Gaza khususnya dalam bidang pendidikan dengan menaja lebih ramai pelajar dan anak Palestin meneruskan pengajian di Malaysia.