SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
10 November 2012
ALOR GAJAH - Misteri kehilangan seorang lelaki yang meninggalkan keretanya dalam keadaan mencurigakan di tebing tali air Sungai Malim, Selasa lalu terungkai apabila dia selamat pulang ke rumahnya, di Taman Rambai Utama, Tanjung Minyak, petang kelmarin.
Menurut Abd Ghani Abdullah, 52, dia dihantar pulang setelah dipulihkan oleh seorang kenalan yang menemuinya dalam keadaan separuh sedar akibat terjatuh di tepi sungai, Isnin lalu.
Menceritakan semula detik- detik cemas yang dilaluinya, Abd Ghani berkata, segalanya bermula ketika dia sedang duduk di atas kerusi batu di situ sambil menunggu rakannya yang berjanji untuk memancing bersama.
“Sambil menunggu kawan saya sampai, saya dapat rasakan sesuatu yang tidak kena apabila bulu roma berdiri. Ketika itu hari sudah senja kerana saya keluar rumah pun sudah melewati jam 6.45 petang.
“Tiba-tiba satu lembaga hitam bertubuh besar datang dari arah belakang dan cuba menolak saya, namun nasib baik saya sempat elak dan terjatuh ke tepi,” katanya.
Abd Ghani yang merupakan seorang pekerja kontrak berkata, dia berada dalam keadaan separuh sedar sebaik sahaja terjatuh.
“Apa yang saya tahu, dalam keadaan mamai itu, saya dihampiri seorang kenalan yang kemudian membawa saya menaiki motosikal pulang ke rumahnya,” katanya yang mendakwa dirinya pengsan selepas itu sehinggalah jam 10 keesokan paginya.
Apabila terjaga, katanya, dia terus bertanya kepada rakannya itu apa yang telah berlaku.
“Kenalan saya itu beritahu saya berada di rumahnya di Taman Merdeka. Katanya, dia dah keluarkan 'benda kotor' dalam badan saya.
“Kira-kira jam 1.20 petang, saya yang sudah pulih sepenuhnya dihantar pulang ke rumah.
Saya memang tak dapat nak menghubungi keluarga kerana telefon bimbit saya kehabisan bateri,” katanya.
Menurut bapa kepada empat anak itu, selama ini dia memang tidak minat memancing namun pada hari tersebut dia pergi ke tebing tali air Sungai Malim bagi memenuhi permintaan rakannya.
Sementara itu, isterinya, Asiah Abdullah, 48, berkata, dia yang berada di dalam rumah petang kelmarin terkejut dengan jeritan anak-anak yang memberitahu ayah sudah pulang.
“Saya bersyukur dan ternyata Allah memakbulkan doa kami sekeluarga yang tidak henti-henti solat Hajat.
“Apa yang penting, suami saya selamat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) negeri, Superintendan P R Gunarajan berkata, kes yang diklasifikasikan sebagai orang hilang itu kini telah selesai.
“Kes lelaki yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu ditutup selepas dia pulang ke rumahnya, tengah hari semalam (kelmarin),” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan kehilangan Abd Ghani selepas seorang pekerja pasar borong, Wan Sulaiman Wan Zaid, 29, menemui keretanya di tebing sungai dengan kedua-dua pintu depan terbuka dan kunci masih berada dalam kenderaan itu.
Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, Wan Sulaiman cuba mencari maklumat dengan menghubungi pemilik kenderaan sebelum bertindak memaklumkan perkara tersebut kepada seorang penjaga kawasan berdekatan, lalu menghubungi polis
No comments:
Post a Comment