Sunday, November 11, 2012

Presiden Syria: 'Bukan perang saudara, tapi perang proksi'

Presiden Bashar al-Assad

Presiden Syria, Bashar al-Assad
DAMSYIK - Presiden Syria, Bashar al-Assad menegaskan negara itu tidak berhadapan dengan perang saudara, tetapi "keganasan proksi" yang disebabkan oleh campur tangan asing.
Malah Bashar juga berkata, beliau tidak menyesal dengan sebarang keputusan yang dibuatnya sejak berlaku pemberontakan 20 bulan lalu.
Katanya, beliau yakin akan kekal menerajui Syria sehingga 2014.
Bashar berkata, Syria sedang menghadapi keganasan melalui proksi iaitu merujuk kepada sokongan asing menentang rejim beliau.
Beliau berkata demikian dalam satu temubual khas, semalam.
Dengan konflik yang semakin meruncing, lebih 5,000 warga Syria cuba masuk ke sempadan Turki bagi menyelamatkan diri dari belenggu keganasan dan menurut pegawai dari Turki, penghijrahan itu meningkatkan lagi bilangan pelarian Syria sehingga 120,000 orang.
Konflik Syria bermula sejak Mac tahun lalu akibat protes terhadap pemerintahan Bashar tetapi konflik meruncing kerana berlaku pertumpahan darah dan berubah menjadi perang saudara.
Aktivis antikerajaan mengatakan setakat ini lebih 36,000 orang terbunuh termasuk beribu-ribu tentera kerajaan manakala beratus ribu rakyat Syria melarikan diri ke Jordan, Turki, Mesir, Lubnan dan Iraq.
“Kami tidak menghadapi perang saudara pun. Ia hanya keganasan dan sokongan yang datang dari luar negara untuk menjejaskan kestabilan Syria,”  kata Bashar dalam satu temu bual dengan televisyen Rusia.
“Ini merupakan perang baru, keganasan melalui proksi, sama ada yang tinggal di Syria atau pejuang asing yang datang dari luar negara.
"Jadi ia merupakan gaya perang baru dan kami perlu menyesuaikan diri dengan keadaan ini dan ia akan mengambil masa untuk diselesaikan,” ujarnya.
Beliau turut mengakui yang tenteranya sedang berjuang menghadapi perang yang sukar.
“Saya boleh memberitahu anda dalam masa beberapa minggu, kita boleh menyelesaikan segala-galanya,” tegasnya.
Ketika ditanya adakah beliau kesal dengan keadaan yang berlaku ketika ini, beliau menjawab, “bukan sekarang."

No comments:

Post a Comment