YANGON, Myanmar - Berpuluh-puluh ribu orang membanjiri jalan-jalan raya di sini untuk menyambut kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang tiba di negara ini semalam.
Obama merupakan Presiden AS pertama yang melawat Myanmar.
Selepas mendapat sambutan karpet merah, Presiden AS berkenaan menemui rakan sejawatnya dari Myanmar, Thein Sein.
Dalam pertemuan tersebut, beliau menyeru bekas jeneral itu supaya mempercepatkan proses demokrasi di Myanmar setelah negara mengamalkan pemerintahan tentera selama beberapa dekad.
Bercakap di hadapan beribu-ribu orang di Universiti Yangon di sini, Obama menghulur tangan persahabatan dan menyatakan komitmen AS kepada rakyat Myanmar.
"Sepanjang setahun setengah yang lepas, satu peralihan dramatik bermula apabila pemerintahan diktator selama lima dekad kini kian pudar," kata Obama kepada para hadirin.
Beliau berkata, kerajaan awam yang baharu perlu memupuk demokrasi atau melihat demokrasi dan sokongan AS kepada negara itu pudar.
Myanmar merupakan kemuncak lawatan empat hari Obama ke rantau ke Asia Tenggara yang bermula di Bangkok Thailand dan berakhir di Phnom Penh, Kemboja hari ini.
Presiden berkenaan dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur di Kemboja.
Dalam lawatan pertama ke luar negara selepas memenangi pilihan raya Presiden AS, Obama turut mengunjungi kediaman ikon demokrasi Aung San Suu Kyi.
Pada pertemuan mereka, Obama memberikan ciuman dan pelukan erat kepada Suu Kyi yang dianggapnya sebagai sumber inspirasi. - Agensi
No comments:
Post a Comment