LONDON 18 Nov. - Pengambilan minuman bergas bukan sahaja menjadikan seseorang gemuk, tetapi juga boleh memburukkan lagi penyakit osteoartritis iaitu penyakit yang berkaitan dengan sendi dan tulang.
Ketua Penyelidik, Dr. Bing Lu dari Hospital Brigham and Women di Boston dalam satu kajiannya, meneliti keadaan pesakit-pesakit yang menghidap osteoartritis di lutut, satu penyakit biasa yang dialami enam juta orang dewasa di sini.
Kajiannnya mendapati, lebih banyak pesakit mengambil minuman bergas, penyakit mereka akan menjadi bertambah teruk.
"Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti faktor pengubahsuaian risiko diet bagi perkembangan penyakit dan mampu menilai cadangan diet sihat," katanya.
Dalam kajian itu, penyelidik mengkaji 2,149 pesakit sebagai responden.
Pada peringkat awal kajian, pengambilan minuman bergas oleh responden termasuk minuman bebas gula dinilai menggunakan borang soal selidik frekuensi makanan.
Dalam tempoh 12 hingga 48 bulan kemudian, kesemua peserta dinilai kembali untuk melihat perkembangan tersebut.
Indeks Jisim Badan (BMI) juga diukur, dengan kedua-dua data antara lelaki dan wanita dianalisis secara berasingan.
Selepas mengawal BMI dan faktor-faktor lain, penyelidik mendapati, keadaan penyakit osteoartritis dalam kalangan responden lelaki yang banyak mengambil minuman ringan dalam tempoh seminggu, semakin teruk.
Bagi lelaki yang tidak mengambil minuman ringan, ruang sendi mereka menjadi lebih sempit dengan purata 0.29 milimeter berbanding 0.59 milimeter bagi lelaki yang mengambil minum ringan lebih lima kali dalam tempoh seminggu. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121119/lu_02/Minuman-bergas-mampu-burukkan-osteoartritis#ixzz2CgGRJ0hm
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment