ISTANBUL - Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu semalam menyatakan, negaranya mengiktiraf Majlis Kebangsaan Syria sebagai wakil sah penduduk negara itu.
Sebelum ini, ketua majlis itu, Ahmed Moaz al-Khatib meminta ia diiktiraf bagi memudahkan penyaluran dana dan pembelian senjata untuk menentang tentera Presiden Bashar Al-Assad.
Davutoglu membuat pengiktirafan itu semasa mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Djibouti, lapor agensi berita Anatolia.
Britain dan Amerika Syarikat sebelum ini turut memberi sokongan kepada majlis tersebut tetapi enggan mengiktirafnya sebagai pemerintah dalam buangan.
Perancis turut mengiktiraf majlis berkenaan.
Sementara itu di London, Perdana Menteri David Cameron dijangka mempengerusikan satu mesyuarat bersama beberapa anggota kanan Kabinet bagi membincangkan operasi ketenteraan, kemanusiaan dan diplomatik Britain di Syria, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC).
Pertemuan tersebut dijangka dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Nick Clegg dan Menteri Kewangan, George Osborne bersama Setiausaha Luar, William Hague serta Setiausaha Pertahanan, Philip Hammond.
Menurut BBC, mereka akan turut membincangkan tentang pelaksanaan zon larangan terbang di Syria di samping membekalkan senjata antipesawat kepada para penentang yang memerangi rejim Bashar.
Perdana Menteri Britain berkenaan melawat kem pelarian Zaatari yang menempatkan sekitar 36,000 pelarian Syria di Jordan pada minggu lalu.
Lebih 39,000 orang terbunuh sejak kebangkitan menentang Bashar bermula pada Mac tahun lalu. - Agensi
No comments:
Post a Comment