Benazir
Asif Zardari (kiri) bersama anaknya, Bilawal ketika menghadiri majlis memperingati kematian Benazir di Gari Khuda Buksh, Pakistan, semalam. - Foto Bernama
KARACHI - Anak Benazir Bhutto, bekas Perdana Menteri Pakistan yang dibunuh lima tahun yang lalu, dilihat sebagai wajah politik masa depan negara itu sambil bertekad mahu meneruskan legasi keluarganya.
Bilawal Bhutto Zardari memberitahu penyokong parti sejak kematian ibunya lima tahun lalu dia telah mengorbankan sebahagian hidupnya untuk mempertahankan demokrasi.
Ibunya mati dalam serangan bom pada tahun 2007 semasa kempen pilihan raya.
Dalam ucapan pertamanya yang disiarkan menerusi televisyen negara itu, beliau memberitahu ribuan penyokong Parti Rakyat Pakistan (PPP) yang rakyat merupakan sumber kuasa utama.
“Semoga demokrasi yang ada terus kukuh,” katanya sekali gus berikrar akan memerangi militan dan ektremisme bagi mewujudkan keamanan di negara itu.
Beliau yang berusia 24 tahun merupakan lulusan Oxford menjadi pengerusi PPP sejak pembunuhan ibunya.
Walaupun masih muda dan kurang pengalaman, beliau yakin mampu mengulangi slogan populis parti itu dalam bahasa Urdu.
Penyokong parti itu turut berharap Bilawal mampu mengetuai barisan hadapan parti dalam kempen pilihan raya umum akan datang.
Beliau bagaimanapun tidak boleh bertanding dalam pilihan raya sehingga umurnya genap 25 tahun dan ini merupakan ucapan kali pertamanya dibuat secara langsung sekali gus menarik perhatian ramai terutama dalam kancah politik negara.
Ayahnya, Asif Ali Zardani, Presiden Pakistan ketika mengumumkan peranan anaknya menyifatkan semalam sebagai satu hari yang "gembira dan sedih."
"Saya mahu memberitahu anda, atas nama ALLAH, dia (Bilawal) telah menyempurnakan pengajian, tetapi kini adalah masa latihan untuk dia. Dia akan bekerja dengan anda, dia akan tinggal bersama pekerja-pekerja, dia harus belajar dari sama," katanya.