Saturday, December 29, 2012

Hilang dalam senarai SPR

Hilang dalam senarai SPR
Poay Tiong bersama Md Yusof dan Hairiz menunjukkan
 salinan bukti daftar pemilih yang telah hilang dari senarai
 SPR di pejabat Pusat Perkhidmatan DAP
 Dun Ayer Keroh, semalam.
AYER KEROH – Ada individu mendakwa namanya tiada di dalam senarai daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meskipun pernah membuang undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.

Perkara itu, didedahkan Setiausaha DAP negeri, Khoo Poay Tiong dalam satu sidang media di pejabat Pusat Perkhidmatan DAP Dun Ayer Keroh di sini, semalam.

Poay Tiong yang juga Adun Ayer Keroh mendakwa, pihaknya juga sudah mengajukan permasalahan itu kepada pejabat SPR negeri namun pihak terbabit juga tidak dapat menjelaskan sebab perkara itu berlaku.

“Apabila kami semak nama individu terbabit di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ternyata nama tersebut disahkan aktif, ertinya individu itu masih hidup namun namanya sudah hilang dalam senarai SPR.

“Kita memandang apa yang berlaku ini sebagai satu perkara amat serius, sebab kita khuatir ada ramai lagi nama pengundi yang sudah hilang dengan cara sebegini,” katanya semalam.

Hadir sama dalam sidang media itu, Pengarah Pilihan Raya PKR, Md Yusof Abdullah dan Ketua Penerangan PKR negeri, Hairiz Nordin.

Justeru, beliau berharap orang ramai yang pernah mendaftar dan pernah membuang undi pada PRU lalu, supaya membuat semakan sama ada menerusi laman web rasmi SPR atau tampil ke pejabat Pakatan Rakyat (PR) terdekat.

“Sebab itulah rakyat mahu kerajaan laksanakan lapan perkara berkaitan tuntutan Bersih kerana salah satunya, mereka mahu memastikan senarai nama pemilih itu benar-benar telus.

“Apa yang kita lihat mereka sudah terlalu 'bersih' sehingga orang yang hidup pun mereka hilangkan nama, sekali gus melakukan 'bersih' yang keterlaluan,” katanya.

Beliau berkata, ekoran itu PR negeri juga akan mengadakan kempen semakan daftar pengundi termasuk menyediakan kaunter serta kemudahan untuk orang ramai membuat semakan daftar pemilih di tempat-tempat tumpuan awam mulai Januari ini.

No comments:

Post a Comment