Sunday, December 23, 2012

Hampir 50 tahun tak mengundi

Hampir 50 tahun tak mengundiBahran menunjukkan salinan permohonan dan butiran peribadi bagi mendapatkan taraf warganegara
SABAK BERNAM - Selepas 47 tahun menanti, seorang penduduk di Kampung Teluk Kemboja gusar apabila permohonan warganegara masih menjadi tanda tanya dan tidak mendapat respons pihak berkenaan.

Bahran Yahya,59, berkata permasalahan tersebut bermula apabila ibu dan ayahnya berhijrah ke Indonesia bagi menguruskan kebun sekitar 1951.

“Saya dilahirkan di Indonesia ketika ibu dan ayah menguruskan kebun di sana, menyebabkan saya tidak mendapat taraf warganegara setelah pulang ke Malaysia sebaik ayah meninggal dunia.
"Saya berulang kali ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan status permohonan warganegara namun sehingga kini tiada kata putus diberikan malah diminta terus menunggu," katanya.

Menurutnya, permohonan tersebut dibuat sejak 1965, namun sehingga kini, statusnya masih terus menjadi tanda tanya.

"Ibu ayah orang Malaysia, cuma saya yang lahir di sana, begitu juga dengan abang.

"Kami sama-sama memohon tetapi abang terlebih dahulu mendapat taraf warganegara sedangkan saya masih tertunggu-tunggu," katanya.

Bahran berkata, masalah itu menyebabkan dia dan keluarga berdepan pelbagai masalah selain menghadapi kesukaran memohon sebarang bantuan untuk meringankan beban memandangkan pendapatan bekerja kampung tidak seberapa.

"Banyak pihak menolak permohonan bantuan kerana bukan warganegara dan sememangnya memberi kesan pada kehidupan kami yang serba kekurangan.

“Pendapatan saya tidak menentu malah isteri saya juga sakit jantung sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, dia juga berkeinginan untuk mengundi dalam pilihan raya sepertimana orang lain, namun hasrat tersebut terpaksa dilupakan kerana belum diiktiraf sebagai warganegara.

"Saya berharap permohonan warganegara ini mendapat perhatian daripada pihak berkenaan sekali gus mempercepatkan lagi prosesnya," katanya.

No comments:

Post a Comment