Sunday, December 23, 2012

Rakyat Mesir undi draf perlembagaan



PENENTANG dan penyokong Presiden Mohamed Morsi bertempur di bandar pelabuhan Iskandariah kelmarin.


KAHERAH - Rakyat Mesir keluar mengundi semalam dalam pusingan terakhir pungutan suara draf perlembagaan baharu yang dicadangkan oleh Presiden Mohamed Morsi dan sekutu-sekutunya dari pergerakan Islam tetapi ditentang hebat oleh pembangkang sekular di negara itu.
Draf tersebut dijangka diluluskan selepas memperoleh 57 peratus sokongan dalam pusingan pertama pungutan suara tersebut seminggu lalu.
Namun, kemenangan tipis dan sambutan hambar daripada pengundi berdaftar dalam pengundian pertama digunakan oleh penentang Morsi dalam kempen mereka untuk menggagalkan referendum tersebut.
Mesir sebelum ini digegarkan oleh bantahan dengan kebanyakannya bertukar ganas sejak sebulan lalu.
Pada 5 Disember, lapan orang terbunuh manakala beratus-ratus lagi cedera dalam beberapa pertempuran antara penyokong dan penentang draf berkenaan di luar Istana Presiden di sini.
Menjelang pengundian semalam, lebih banyak pertempuran berlaku di Iskandariah yang merupakan bandar raya kedua terbesar di negara itu.
Seramai 62 orang termasuk 12 anggota polis cedera dalam kekacauan tersebut dengan 12 orang telah ditangkap.
Sekitar 250,000 anggota polis dan tentera dikerahkan untuk mengawal ketenteraman ketika referendum diadakan.
Draf perlembagaan itu dihasilkan oleh panel yang didominasi pergerakan Islam terbesar di Mesir, Ikwanul Muslimin yang menyokong Morsi.
Draf berkenaan ditentang oleh penduduk Kristian dan golongan liberal kerana dianggap menyisihkan hak asasi manusia dan hak wanita.
Keputusan awal pusingan terakhir pungutan suara itu dijangka diketahui hari ini.
"Saya mengundi menyokongnya kerana Mesir memerlukan sebuah perlembagaan yang stabil," kata seorang pemandu lori berusia 49 tahun, Mohamed Mamza semasa beratur untuk mengundi di Giza, dekat sini.
Di satu lokasi berhampiran, seorang pengundi lain, Sayyed Mostafa, 25, menyatakan, dia akan mengundi menentang draf perlembagaan tersebut.
"Draf ini tidak menghormati rakyat Mesir," tegasnya.
Jika draf perlembagaan baharu itu dikuatkuasakan, Morsi perlu mengadakan pilihan raya Parlimen dalam tempoh dua bulan lagi untuk menggantikan dewan berkenaan yang didominasi wakil rakyat Islam.
Parlimen Mesir diarahkan dibubar oleh Mahkamah Agung negara berkenaan pada Jun lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1223&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2Foo43F8W 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment