Sunday, December 23, 2012

Perlembagaan bakal lulus



Kaherah: Rakyat Mesir mengundi Perlembagaan baru dalam pusingan kedua yang diramal memberi kelulusan dengan penentang menyifatkan keputusan itu hanya membawa lebih banyak masalah pada masa depan.

Perlembagaan baru itu dirangka oleh golongan agama dan 57 peratus penduduk menyokongnya dalam undian pusingan pertama minggu lalu.
Penentang menyifatkan undian dua pusingan itu sebagai satu penipuan kerana ada beberapa kejadian penyelewengan berlaku dan menuntut undian diadakan semula. Namun, jawatankuasa yang memantau pengundian dua pusingan itu berkata, siasatan mereka tidak menunjukkan sebarang penyelewengan besar dalam undian 15 Disember lalu yang membabitkan separuh daripada 51 juta pengundi.


Pengundian bermula jam 8 pagi waktu tempatan dan ditutup pada jam 7 malam walaupun undian boleh dilanjutkan seperti minggu lalu.

Penyokong Presiden Mohamed Mursi, yang dipilih Jun lalu, berkata Perlembagaan adalah penting untuk menggerakkan Mesir ke arah demokrasi dua tahun selepas bekas Presiden Hosni Mubarak ditumbangkan dalam kebangkitan rakyat.

Mereka berkata ia akan membantu memulihkan kestabilan yang diperlukan untuk memulihkan ekonomi.
Jika ia diluluskan, pilihan raya Parlimen akan diadakan dalam masa dua bulan.
Bagaimanapun, pembangkang berkata Perlembagaan berkenaan memecahbelahkan penduduk dan menuduh Mursi memaksa kelulusan dokumen itu yang menyebelahi sekutunya dan mengetepikan hak penduduk Kristian yang membentuk 10 peratus penduduk, selain wanita.

“Saya mengundi ‘tidak’ kerana Mesir tidak boleh diperintah oleh satu pihak saja,” kata Karim Nahas, broker pasaran saham

Sekurang-kurangnya lapan orang maut ketika menyertai bantahan di luar Istana Presiden dengan penyokong dan penentang Mursi bergaduh di Iskandariah, Jumaat lalu.

Selain saling membaling batu ke arah lawan, dua bas turut dibakar.
REUTERS

No comments:

Post a Comment