KUALA LUMPUR: “Inilah padahnya membiarkan remaja berinteraksi di alam maya tanpa pemantauan orang tua,” kata pakar motivasi dan perunding cara keluarga, Zawiyah Hassan mengenai senario remaja perempuan melahirkan anak tidak sah taraf akibat terlanjur dengan pasangan masing-masing selepas berkenalan menerusi laman sosial.
Beliau berkata, apabila anak mula menunjukkan perubahan, peranan ibu bapa dalam membentuk remaja semakin besar, terutama di peringkat usia antara lapan hingga 15 tahun, di mana mereka seolah-olah terperangkap antara dua alam sama ada kanak-kanak atau remaja.
Merujuk kepada sistem pendidikan anak disarankan Saidina Ali RA, ada empat tahap mengajar cahaya mata iaitu peringkat pertama bagi anak berusia satu hari hingga tujuh tahun; kedua (lapan-15 tahun); ketiga (16-21 tahun) dan empat (21 tahun ke atas).
Zawiyah berkata, peringkat pertama bersifat kasih sayang, manakala kedua pula menekankan didikan penuh disiplin bagi membantu mereka membezakan perkara baik atau jahat.
“Peringkat ketiga pula, ibu bapa perlu menjadi kawan rapat kepada anak, bersedia mendengar masalah dan luahan perasaan mereka. Usah melenting terlebih dulu, nasihat anak secara berhemah, baru remaja selesa untuk berbicara.
“Ibu bapa cuba meletakkan diri di kedudukan anak remaja yang memerlukan seseorang bagi mendengar cerita mereka. Jika mereka tidak bersedia menjadi kawan kepada anak, anak mungkin memilih teman sebaya yang tidak berpengalaman sebagai rujukan.
“Bagi peringkat terakhir, bermaksud kebebasan kepada anak dengan kawalan dan pemantauan ibu bapa supaya mereka tidak tergelincir melakukan kesilapan dalam hidup. Seandainya sistem ini diterapkan, risiko anak mencari kasih sayang di luar berada di tahap rendah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, anak muda juga perlu sedar tanggungjawab utama menjaga diri terletak di bahu masing-masing, bukan pada orang lain, sama ada keluarga atau masyarakat.
“Andai mereka menggunakan alasan kurang menerima kasih sayang dan perhatian keluarga bagi melakukan aktiviti tidak sihat, selain kononnya tindakan itu mampu menyedarkan kewujudan mereka di mata ibu bapa, sebenarnya mereka tersilap percaturan.
“Setiap perkara mereka lakukan, sama ada baik atau buruk, memberi implikasi besar terhadap diri sendiri, terutama pada masa depan.
“Cinta adalah perasaan anugerah kurniaan Allah SWT dan setiap individu memerlukannya, cuma usia muda dan pemikiran tidak matang membuatkan remaja terjerumus dalam maksiat,” katanya.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment