KUALA LUMPUR - Seorang rakyat Malaysia yang disyaki anggota kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) mati ditembak di hadapan isterinya oleh pasukan keselamatan Filipina di sebuah hotel di Davao malam kelmarin selepas dipercayai cuba melakukan serangan bom di bandar tersebut.
Mohd. Noor Fikrie Abd. Kahar, 26, yang berasal dari Kedah meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Dia dipercayai memasuki Filipina dari Sandakan, Sabah pada April lalu untuk bertemu dengan isterinya, Anabelle Nieva Lee, seorang rakyat negara itu.
Memetik laporan agensi berita, Ketua Polis Davao, Superintendan Kanan Ronaldo Dela Rosa memberitahu, kehadiran suami isteri itu di Hotel Sampaguita, Davao berjaya dijejaki oleh polis Filipina yang menugaskan sepasukan anggota pasukan gerak khas dan taktikal (SWAT) mengepung hotel itu pada pukul 7 malam.
Mohd. Noor dan Anabelle yang membawa beg sandang, dilihat keluar dari bilik hotel mereka pada pukul 10.30 malam dan menuju ke lobi hotel.
Pada waktu itu, Dela Rosa bersama anggotanya telah meminta mereka untuk menyerah diri namun Mohd. Noor bertindak mengeluarkan telefon bimbit dan mengugut untuk meletupkan bom menggunakan peralatan itu jika dia ditembak.
Tindakannya itu menyebabkan keadaan di lobi hotel itu menjadi kelam-kabut sehingga mendorong polis membiarkan pasangan tersebut lari keluar dari bangunan demi keselamatan orang awam.
Mohd. Noor yang membawa beg sandang berisi bom cuba melarikan diri ke arah sebuah taman awam sebelum dia ditembak oleh penembak tepat yang sedia menunggu di kawasan tersebut.
Dela Rosa berkata, polis turut menemui bahan letupan yang diperbuat daripada kepala mortar bersaiz 60 milimeter, telefon bimbit dan peralatan lain untuk membuat bom.
Mohd. Noor dipercayai merancang untuk meletupkan sebuah hotel di Davao tetapi setakat ini belum dapat dipastikan sama ada bangunan itu ialah Hotel Sampaguita.
Kejadian itu turut disahkan oleh Pengarah Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Cegah Keganasan) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Sementara itu, satu sumber memberitahu Kosmo! Ahad bahawa gerak-geri Mohd. Noor sebagai anggota militan telah dipantau sejak dia berada di Malaysia lagi.
"Dia masuk ke Filipina pada April lalu untuk belajar buat bom. Apabila berada di sana dia berkahwin dengan seorang wanita tempatan (Anabelle)," kata sumber itu.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1216&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2FAPohFOD
Hakcipta terpelihara
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment