TIDAK rela bertukar seronok. Diperkosa dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh teman lelaki yang dikenali melalui laman sosial selepas setahun berhubungan menjadi permulaan kepada Wani melakukan hubungan seks luar nikah setiap kali berjumpa.
Gadis berusia 21 tahun berasal dari utara tanah air ini menyedari penampilan dirinya tidak menarik, ditambah susuk tubuh gempal menjadi faktor utama dia menerima kehadiran mana-mana jejaka yang cuba menjadikannya teman wanita tanpa menyiasat terlebih dulu latar belakang.
“Kami ‘bertemu’ menerusi fb sebelum dia menghulurkan salam perkenalan dan meluahkan hasrat mengenali diri dengan lebih dekat. Ketika itu, saya akui seronok apabila ada lelaki berminat dengan saya, apatah lagi saya tidak pernah mempunyai teman lelaki seperti rakan lain.
“Selepas setahun bersembang di fb, dia mendesak saya berjumpa di pusat beli-belah di ibu kota. Yakin dengan kata-kata dan janji manis ditaburkan membuatkan saya sanggup menipu ibu dan berkata mahu berjumpa rakan perempuan di Kuala Lumpur,” katanya.
Selepas berjumpa, teman lelakinya mengajak Wani menemaninya ke rumah sewa di pinggir ibu kota tanpa mengesyaki niat jahat lelaki durjana berusia 30 tahun itu.
Keyakinannya goyah apabila lelaki terbabit mula menunjukkan kelakuan tidak bermoral dan mengajak Wani melakukan hubungan seks.
Apabila menyedari gadis berkenaan enggan menuruti permintaannya, lelaki yang bertugas sebagai pengawal keselamatan itu memberikan segelas air bertujuan mengurangkan rasa tidak selesa Wani.
“Tanpa syak wasangka, saya minum air berkenaan hingga habis sebelum berasa pening. Sebaik membuka mata, tubuh saya tidak disaluti walau seurat benang, membuatkan saya berasa takut.
“Namun ketakutan beransur hilang apabila dia berjanji akan menjaga dan sehidup semati dengan saya. Disebabkan janji itu, saya berasa selamat dan dihargai, malah membatalkan niat untuk melaporkan perkara ini kepada polis.
“Sejak itu, setiap kali pertemuan yang diadakan dua kali seminggu diakhiri di ranjang. Yang membuatkan saya lebih hanyut, teman lelaki menghadiahkan ‘token’ berbentuk wang tunai RM10 hingga RM20 sebelum pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui.
Asyik menangis sambil mengendong bayi berusia dua minggu, Wani tidak terfikir risiko mengandung luar nikah, apatah lagi dia tidak alahan.
Pertemuan kali terakhir, kira-kira dua bulan sebelum melahirkan seorang bayi perempuan, masih melakukan hubungan seks tanpa menyedari dirinya hamil, berikutan mengalami masalah haid.
“Ahli keluarga menegur perubahan tubuh saya yang berisi, seterusnya menyuruh berjumpa doktor. Sangkaan doktor, saya mempunyai masalah penghadaman kerana perut kelihatan besar dan menyuruh datang keesokan paginya untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Belum sempat menjalani pemeriksaan keesokan hari, malamnya, Wani mengalami sakit perut seakan-akan mahu membuang air besar.
Tanpa mengesyaki apa-apa, dia masuk ke tandas dan terkejut apabila melihat kepala bayi keluar daripada rahimnya.
“Saya terkejut, dengan tiga kali meneran, bayi cukup sifat selamat dilahirkan. Tangisannya pada awal pagi membuatkan saya buntu, sekali gus mengejutkan ahli keluarga yang nyenyak tidur.
“Abang yang masuk ke bilik air terkejut mendapati lantai dibanjiri darah dan hampir menangis apabila melihat bayi dalam dakapan saya. Ibu pula pengsan serta-merta kerana tidak dapat menerima kenyataan,” katanya.
Pada masa sama, Wani cuba menghubungi teman lelakinya, namun gagal. Laman sosial milik teman lelaki yang selama ini menjadi tempatnya meluahkan perasaan didapati tidak lagi aktif.
“Apabila jadi begini, baru saya sedar, selama ini dia hanya menggunakan saya untuk kepentingannya dan memuaskan nafsu serakahnya.
“Tangisan ibu dan reaksi ayah yang enggan memandang wajah saya membuatkan saya rasa berdosa serta bersalah kerana tidak pernah mendengar nasihat mereka supaya tidak terjebak dalam alam percintaan sebelum usia matang.
“Saya benar-benar menyesal dan berharap tidak akan mengulangi kesilapan sama,” katanya yang bakal menyerahkan bayi comel itu kepada keluarga angkat tidak lama lagi.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment