Baitulmaqdis: Naib Perdana Menteri Israel semalam berkata, rejim Zionis itu akan melancarkan serangan sekiranya ada tanda-tanda menunjukkan kemungkinan senjata kimia Syria jatuh ke pihak lain.
Silvan Shalom mengesahkan laporan media bahawa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu minggu lalu berbincang dengan ketua keselamatan rejim berkenaan mengenai perang saudara di Syria dan kedudukan senjata kimia negara itu.
Mesyuarat itu yang diadakan Rabu lalu, tidak diumumkan dan dilihat sebagai luar biasa kerana ia diadakan ketika undi pilihan raya Israel masih dikira.
“Sekiranya pejuang Hizbullah di Lubnan atau penentang yang memerangi askar yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad memperoleh senjata kimia Syria, ia sudah pasti mengubah secara dramatik keupayaan kumpulan berkenaan. Perkembangan itu memerlukan pendekatan berbeza, termasuk operasi pencegahan,” kata Shalom.
Pegawai kanan tentera Israel sebelum ini berkata, rancangan melancarkan serangan terhadap Syria sudah disiapkan. “Konsep itu, secara prinsipnya, ialah senjata kimia itu tidak boleh bertukar tangan Sebaik kami mengetahui ia berlaku, kami perlu membuat keputusan,” kata Shalom ketika diwawancara oleh Radio Israel.
Dalam wawancara berasingan dengan Radio Tentera, Menteri Pertahanan Awam, Avi Dichter berkata, Syria kini di ambang keruntuhan.
Apabila ditanya sama ada rejim Zionis itu melihatnya sebagai ancaman, Dichter berkata: “Tidak, belum lagi. Saya berpendapat, sekiranya perkembangan yang berlaku mengancam kita, Israel akan mengetahui mengenainya.” Perancis, antara penyokong kuat kumpulan penentang Syria berkata minggu lalu, tidak ada tanda-tanda Bashar akan digulingkan memandangkan usaha antarabangsa menangani krisis itu terus buntu. Di medan tempur, konflik berkenaan juga tidak menunjukkan sebarang perkembangan baru. - Reuters
No comments:
Post a Comment