BAMAKO 27 Jan. - Tentera Perancis hari ini meningkatkan kemaraan mereka ke atas kawasan yang dikuasai militan di Mali ketika Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk menyediakan kemudahan mengisi minyak kepada angkatan tentera udara Perancis.
Perdana Menteri Perancis, Jean- Marc Ayrault berkata, selepas menguasai semula Gao semalam, tentera negara itu mula meningkatkan kemaraan mereka ke Timbuktu, sebuah lagi bandar utama di kawasan padang pasir di utara Mali yang 'ditawan' militan yang dikaitkan dengan al-Qaeda selama 10 bulan.
Penguasaan semula Gao, bandar yang padat dengan penduduk di utara Mali diumumkan oleh Kementerian Pertahanan Perancis dan disahkan oleh sumber keselamatan Mali.
Ayrault berkata, tentera kini berada di sekitar Gao dan sedang menghampiri Timbuktu, pusat pengajian Islam sejak berabad lamanya.
''Pasukan bersenjata daripada pelbagai negara Afrika turut serta dalam operasi ini bagi membantu pengambil alihan dan kerajaan Mali memulakan proses penstabilan politik,'' katanya.
Keputusan Washington untuk meningkatkan peranannya dalam konflik itu dengan membantu mengisi minyak pesawat pejuang Perancis adalah rangsangan penting terhadap kempen tersebut.
Serangan udara Perancis berjaya memaksa militan berundur dari kubu kuat mereka di utara sekali gus memudahkan serangan dari darat.
Sementara itu, seorang sumber keselamatan di Gao ketika dihubungi AFP berkata, kontinjen pertama tentera Mali, Chad dan Niger telah sampai di Gao bagi membantu tentera Perancis mengukuhkan kedudukan di situ selepas tiba dari negara masing-masing. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130128/lu_03/Mali-Tentera-tingkatkan-kemaraan#ixzz2JEDLSyQK
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment