Saturday, January 5, 2013

Polis tembak mati dua suspek militan

JAKARTA 4 Jan. - Polis antikeganasan Indonesia menembak mati dua suspek militan di luar pekarangan sebuah masjid universiti di Pulau Sulawesi, hari ini.
Jurucakap polis Indonesia, Boy Rafli Amar berkata, kedua-dua lelaki terbabit dipercayai mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas dan dikaitkan dengan beberapa pembunuhan anggota polis.
Boy berkata, kedua-dua suspek dikenali sebagai Syamsuddin @ Aswah @ Abu Uswah, 34, dan Ahmad Kholil @ Hasan, 35, membawa sepucuk pistol dan bom tangan ketika ditembak mati di kampus Universiti Hasanuddin di Sulawesi Selatan, ibu wilayah Makassar.
"Semasa polis mahu menahan suspek, mereka cuba mengeluarkan pistol, menyebabkan anggota polis terbabit terpaksa melepaskan tembakan.
"Syamsuddin dan Ahmad Kholil dipercayai terlibat dalam rangkaian keganasan yang bertanggungjawab membunuh enam anggota polis di Poso pada tahun lalu," katanya.
Menurut Boy, kedua-dua suspek turut mempunyai kaitan dengan pengganas paling dikehendaki, Santoso yang dipercayai mengetuai sebuah kumpulan militan dan membina kem latihan tentera di kawasan pergunungan Poso.
"Dua suspek yang ditembak mati hari ini telah diburu pihak polis sejak November lalu ekoran penangkapan beberapa anggota militan yang bertanggungjawab melontar bom paip di Sulawesi Selatan, beberapa bulan lalu," katanya.
Santoso turut dipercayai telah melatih sejumlah militan muda yang dipergunakan untuk melancarkan serangan gerila terhadap anggota polis. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130105/lu_04/Polis-tembak-mati-dua-suspek-militan#ixzz2H6QXNzg5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment