Malala Yousafzai
Malala Yousafzai keluar hospital semalam. - Foto ihsan CNN
LONDON - Remaja Pakistan yang ditembak oleh Taliban Oktober lalu keluar hospital Birmingham semalam, tetapi bakal  menjalani pembedahan susulan di bahagian tengkorak, dijangka akhir bulan ini.

Malala Yousafzai, 15, menerima rawatan  di Hospital Queen Elizabeth Birmingham selepas kritikal ekoran serangan 15 Oktober lalu.

Dia kelihatan pulih selepas hampir tiga bulan tetapi masih jauh daripada tahap pemulihan sepenuhnya.

Gadis itu akan menjalani pembedahan membina semula tengkorak akhir bulan ini atau awal Februari.

Pengarah Perubatan, Dr Dave Rosser berkata, “Malala menunjukkan perubahan yang sangat positif semasa tempoh rawatan.

Gadis itu ditembak Taliban kerana berjuang untuk hak pendidikan bagi kaum wanita.

Menurut doktor, peluru telah menembusi bahagian atas mata kirinya dalam kejadian tembakan di Lembah Swat.

“Setakat ini pasukan perubatan telah menyediakan doktor dari neurosurgeri, pengimejan dan pakar terapi,” kata Dr Rosser.

Tambah beliau, beberapa doktor pakar turut bekerjasama dalam memberi rawatan kepada Malala.

"Ekoran perbincangan dengan Malala dan pasukan perubatan dia, kami memutuskan bahawa dia akan lebih bermanfaat jika berada di rumah bersama ibu bapa dan dua adik lelakinya," kata beliau.