Paris: Kebangkitan militan Islam di Mali adalah ‘seruan lantang’ untuk bakal pejuang di Perancis, tetapi kemungkinan besar mereka tidak akan melakukan serangan itu di negara berkenaan dalam tempoh terdekat, kata hakim antipengganas kanan, semalam.
Menurut Marc Trevidic, militan Islam kini menganggap Perancis sebagai musuh nombor satu mereka. “Kumpulan itu menganggap tentera Perancis memerangi Islam. Justeru, sudah pasti mereka akan cuba untuk melawan kita,” katanya.
Trevidic adalah hakim paling kanan untuk badan menyiasat kegiatan keganasan di Perancis. Paris mengarahkan serangan udara dilancarkan serta menghantar ribuan tentera ke Mali beberapa minggu lalu bagi menekan pemberontak al-Qaeda yang menguasai sebahagian kawasan di utara negara berkenaan.
Barat bimbang kawasan dikuasai militan itu akan menjadi pusat operasi mereka melancarkan serangan ke atas kepentingan politik dan ekonomi Perancis. Bagaimanapun, kata Trevidic, dia yakin serangan militan Islam ke atas kepentingan Perancis tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat. Menurutnya, sistem perundangan Perancis mula membuka siasatan baru membabitkan beberapa individu disyaki mempunyai kaitan dengan sel ‘pengganas’ Mali beberapa minggu lalu. November lalu, pendakwa berkata, mereka menyiasat seorang lelaki Perancis yang disyaki memasuki Mali secara haram untuk menubuhkan sel militan Islam. Didiami kira-kira lima juta umat Islam, Perancis menjadi negara paling ramai didiami Muslim di Eropah dan belum pulih sepenuhnya daripada insiden pembunuhan tujuh orang pengagum al-Qaeda pada Mac 2012. Trevidic berkata, risiko serangan pengganas Islam di wilayah Perancis adalah rendah kerana langkah keselamatan dan pengawasan kini dipertingkatkan. “Bahaya bukan datang dalam jangka masa pendek, sebaliknya jangka masa sederhana,” katanya. - Reuters
No comments:
Post a Comment