ABU DHABI 17 Feb. - Polis melepaskan gas pemedih mata ke arah beratus-ratus golongan belia yang membaling batu dalam demonstrasi di Bahrain semalam, keadaan huru-hara yang menyukarkan usaha baharu untuk menamatkan kebuntuan politik di negara itu.
Saksi berkata, beratus-ratus penunjuk perasaan daripada parti pembangkang turut melempar bom petrol ke arah polis selepas majlis pengkebumian seorang remaja yang didakwa pembangkang, terbunuh ketika bertempur dengan pasukan keselamatan empat hari lalu.
Pertempuran di kampung Sabanis, barat Manama merupakan yang terbaharu antara belia Syiah dan polis sejak empat hari lalu apabila aktivis pembangkang menyambut ulang tahun kedua kebangkitan rakyat yang berjaya dipatahkan oleh kerajaan.
Keganasan terbaharu itu akan membayangi rundingan di antara pembangkang daripada puak Syiah dan kerajaan yang didominasi puak Sunnah.
Rundingan tersebut akan mencari penyelesaian berhubung desakan puak Syiah untuk mendapatkan lebih banyak kebebasan berdemokrasi.
Dalam pada itu, polis menangkap lapan anggota dipercayai anggota pengganas yang mempunyai kaitan dengan Iran, Iraq dan Lebanon ekoran demonstrasi sempena sambutan ulang tahun kedua kebangkitan rakyat itu.
Menteri Dalam Negeri Bahrain, Sheikh Rashid Abdullah al-Khalifa berkata, lapan suspek tersebut dipercayai bergerak di antara Iran, Iraq dan Lebanon selain menerima latihan ketenteraan serta bantuan kewangan.
''Dengan kerjasama negara jiran, Bahrain berjaya menangkap kelapan-lapan suspek tersebut,'' katanya yang dipetik oleh agensi berita BNA, semalam. - REUTERS/AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130218/lu_04/Belia-baling-batu-bom-petrol-pada-polis#ixzz2LD3voC1A
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment