Bantahan tercetus di seluruh Pakistan semalam bagi menuntut perlindungan kepada golongan Syiah selepas satu letupan bom mensasarkan masyarakat minoriti itu membunuh 81 orang, insiden terbaru dalam beberapa siri serangan antara mazhab.
Bom mengandungi satu tan bahan letupan itu disembunyikan dalam tangki air meletup di pasar yang sesak di bandar Hazara, kawasan didominasi golongan Syiah di pinggir Quetta, ibu negeri wilayah Baluchistan di barat laut Pakistan petang kelmarin. Orang ramai berhimpun ketika yang lain menyelongkar sisa runtuhan, dengan beberapa yang lain menangis apabila menemui serpihan daging dan anggota tubuh akibat letupan yang turut mencederakan 178 orang itu.
Saksi, Zainab Bibi, 38, berkata, keadaan dis itu bagaikan “hari kiamat sudah tiba”.
“Pada awalnya, saya tidak boleh nampak apa-apa kerana debu yang tebal, tetapi saya dapat mendengar jeritan yang kuat. “Apabila debu beransur hilang, saya lihat darah, tubuh yang terputus bergelimpangan di mana saja tanpa baju,” katanya. Gabenor Baluchistan menyalahkan kegagalan agensi keselamatan dan perisikan ekoran serangan itu, mengatakan mereka terlalu takut untuk berunding dengan kumpulan yang bertanggungjawab di sebalik keganasan antara mazhab itu.
Baluchistan semakin menjadi pusat keganasan antara mazhab di kalangan kaum majoriti Sunni dan Syiah. Golongan Syiah mewakili satu perlima daripada 180 juta penduduk Pakistan. Serangan kelmarin menjadikan jumlah kematian akibat serangan antara mazhab di Pakistan tahun ini kepada hampir 200 orang, berbanding dengan lebih 400 tahun lalu - tahun di mana Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan menyifatkannya sebagai yang terburuk bagi rekod golongan Syiah di negara itu. Ia adalah serangan terbesar kedua terhadap golongan Syiah di Quetta tahun ini, selepas dua insiden pengeboman berani mati di kelab snooker pada 10 Januari lalu membunuh 92 orang, yang terburuk di negara itu.
No comments:
Post a Comment