Monday, February 18, 2013

Tiga orang maut di selatan Thailand



Pasukan penyelamat Thailand mengangkat seorang mangsa yang cedera dalam serangan letupan bom yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan pemisah di Pattani, kelmarin. - AFP
BANGKOK 17 Feb. - Sebanyak tiga orang maut dan 18 orang lagi cedera dalam beberapa kejadian letupan bom di wilayah selatan Thailand, kata pihak berkuasa hari ini.
Sebanyak tiga butir bom meletup di Pattani malam tadi, manakala empat butir lagi bom buatan sendiri berjaya dimatikan.
Jurucakap Kawalan Barisan Hadapan Wilayah Keempat, Kawalan Operasi Keselamatan Dalam Negeri, Kolonel Pramote Promin berkata, sebanyak lapan butir bom buatan sendiri ditemukan di sekitar wilayah Pattani sejak malam tadi.
‘‘Letupan pada tengah hari ini di bandar Pattani menyebabkan seorang sukarelawan keselamatan tempatan maut di tempat kejadian,’’ katanya.
Kakitangan hospital berkata, seorang lagi sukarelawan maut ketika menerima rawatan di hospital manakala kira-kira 18 orang lagi cedera.
Beliau berkata, pejuang pemisah cuba mewujudkan keadaan huru-hara dengan meletupkan bom-bom yang disembunyikan di kedai-kedai yang berbeza.
‘‘Penyerang memakai hijab untuk menipu orang ramai dan pihak berkuasa, namun dengan kerjasama orang ramai, polis berjaya mematikan kebanyakan bahan letupan,’’ katanya.
Promin berkata, Ketua Tentera Nasional, Jeneral Prayuth Chan-ocha mengarahkan askar untuk memantau kawasan perumahan awam dan lokasi perniagaan di wilayah selatan negara ini.
‘‘Kumpulan pemisah mungkin ingin membalas dendam ekoran pertempuran antara 60 askar marin dan 80 anggota kumpulan pemisah di Narathiwat yang menyaksikan 16 pejuang pemisah maut dan empat lagi ditangkap,’’ katanya.
Dalam pada itu, situasi di Yala awal pagi ini tenang selepas kebanyakan penduduk tidak berani keluar rumah ekoran bimbang akan keselamatan mereka. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130218/lu_02/Tiga-orang-maut-di-selatan-Thailand#ixzz2LD3nzFwL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment