Kuala Lumpur: “Jangan gadai maruah kerana wang,” tegas pendakwah dan tokoh agama, Datuk Hassan Mahmud Al Hafiz mengulas pendedahan Metro Ahad mengenai segelintir suri rumah sanggup melakukan kerja tidak bermoral untuk mencari nafkah tanpa dibantah suami.
Hassan berkata, lebih parah lagi jika suami mengetahui pekerjaan itu dilakukan isteri, namun tetap membenarkannya disebabkan mahu mendapatkan wang.
Menurutnya, suami seperti itu boleh dikategorikan dayus dan menanggung sama dosa isterinya.
Katanya, Islam jelas menerangkan peranan isteri serta ibu untuk menjaga maruah dan bukan melakukan pekerjaan terkutuk dengan berlaku sentuhan dengan bukan mahram seperti mengurut.
“Mengapa perlu melakukan urutan batin kepada lelaki, sedangkan banyak tukang urut lelaki memiliki kepakaran sama. Tindakan itu juga mendekatkan mereka kepada zina.
“Perbuatan membuka pusat urut tak salah jika urutan itu membantu memulihkan keadaan seseorang, namun Islam melarang wanita mengurut lelaki bukan mahram selagi bukan pada situasi darurat,” katanya ketika dihubungi.
Berhubung tindakan Suraya dan Maya sebagaimana dilaporkan, Hassan berkata, mereka perlu insaf dan kembali ke pangkal jalan dengan mencari pekerjaan lebih baik kerana punca rezeki halal membawa kebahagiaan dalam rumah tangga.
Katanya, masa depan anak perlu diutamakan pasangan suami isteri dan setiap rezeki dimasukkan ke dalam mulut wajib daripada hasil yang halal.
“Umat Islam yang melakukan pekerjaan ditegah agama akan menerima azab seksa yang sangat pedih di akhirat nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment