Sunday, February 3, 2013

Penentang Morsi serang istana



Kaherah: Penentang Presiden Mohamed Morsi melontar batu dan bom api ke arah pintu masuk istananya kelmarin, bertempur dengan polis yang melepaskan gas pemedih mata serta meriam air.

Ini adalah kali pertama istana presiden menjadi sasaran serangan selepas keganasan politik Mesir meletus minggu lalu.
Pasukan keselamatan membenarkan mereka berarak merapati pintu pagar utama tetapi beberapa penunjuk perasaan mengambil kesempatan melontar batu dan kasut menerusi pagar.

Ada yang memanjat pagar itu untuk mendapat sudut lebih baik bagi melontar batu.


Polis dan Pengawal Republikan yang mulanya tidak bertindak, akhirnya melepaskan tembakan meriam diikuti dengan gas pemedih mata selepas bom api di lontar ke dalam pekarangan istana.


Ia disusuli dengan ketibaan polis pencegah rusuhan di jalan raya di luar istana itu.

Pertempuran berlaku selama beberapa jam sehingga lewat malam.

Penunjuk perasaan turut membakar tayar dan mercun. Seorang pemuda berusia 23 tahun mati selepas ditembak di dada dan dahi sementara 50 lagi cedera, kata Kementerian Kesihatan, Morsi bagaimanapun tidak berada di istana itu.

Tunjuk perasaan di depan istana itu adalah sebahagian daripada demonstrasi di bandar raya di seluruh negara yang dianjurkan oleh pembangkang selepas kira-kira 60 orang terbunuh dalam tunjuk perasaan, pertempuran dan rusuhan sebelum ini.

Ramai penunjuk perasaan mendesak Morsi meletak jawatan dan menuduh Ikhwanul Muslimin yang diketuainya memonopoli kuasa dan gagal menangani masalah yang semakin meningkat di negara itu.

Tindakan Morsi memuji pasukan keselamatan Mesir selepas jumlah kematian yang tinggi turut menyemarakkan lagi kemarahan penentangnya.

No comments:

Post a Comment