KAHERAH 2 Feb. - Sekurang-kurangnya seorang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera apabila polis bertempur dengan penunjuk perasaan yang menyerang Istana Presiden di sini, semalam.
Penunjuk perasaan dalam kalangan pemuda bertindak membaling bom petrol serta mercun ke arah polis dalam insiden yang berlaku di luar pekarangan Istana Presiden.
Polis bertindak balas dengan melepaskan meriam air serta gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan.
Menurut dua orang saksi, mereka melihat seorang penunjuk perasaan ditembak mati di Kaherah dengan peluru hidup di depan mata mereka.
"Perkara itu telah disahkan. Saya kini berada di bilik mayat dan mangsa ditembak dengan dua peluru di bahagian leher serta dada kanan," kata seorang peguam, Ragia Omran.
Sumber keselamatan dan perubatan mengesahkan Mohamed Hussein Qurany, 23, maut akibat terkena tembakan peluru hidup.
Menurut ketua perkhidmatan ambulans, sekurang-kurangnya 54 orang turut cedera di seluruh negara akibat tunjuk perasaan, kebanyakannya di Kaherah.
Keganasan terbaharu itu berlaku selepas Mesir tenang beberapa hari setelah berdepan dengan tunjuk perasaan berdarah selama seminggu sempena ulang tahun kedua kebangkitan rakyat menggulingkan bekas Presiden Hosni Mubarak yang mengorbankan hampir 60 orang. - REUTERS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130203/lu_02/Polis-penunjuk-perasaan-bertempur#ixzz2Jq5Uhpzp
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment