Kedutaan AS dibom
Sebahagian bangunan kedutaan AS musnah akibat ledakan bom berani mati.
ANKARA - Seorang pengawal keselamatan kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Turki terbunuh dalam serangan melibatkan seorang lelaki meletupkan dirinya di pekarangan bangunan itu, kelmarin.

Menurut pegawai, penyerang meletupkan bom yang dilekatkan pada badannya sejurus memasuki pintu pagar kedutaan.

Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, pihaknya percaya penyerang yang turut terbunuh adalah ahli Parti Revolusi Pembebasan Tentera Barisan Hadapan (DHKP-C), juga dikenali sebagai parti berhaluan kiri anti-AS dan anti-Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

"Kumpulan ini turut disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas oleh Washington," katanya sambil menambah motif serangan masih belum dipastikan.

Sementara itu, Rumah Putih mengutuk serangan berkenaan dan menggelarnya sebagai serangan pengganas. - Reuters