Saturday, March 30, 2013

Dua masih Zon Merah



Hanya dua kampung daripada lapan yang sebelum ini diletakkan dalam Zon Merah menerusi Op Daulat mulai 5 Mac lalu, masih belum diisytiharkan bebas daripada pengganas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, pasukan keselamatan kini masih meneruskan operasi penggeledahan di kawasan itu bagi menumpaskan saki-baki pengganas.


Beliau berkata, operasi penggeledahan dan pembersihan di Kampung Tanjung Batu dan Tanjung Labian yang terletak bersebelahan sudah selesai dilakukan.

“Operasi kini diteruskan dari Kampung Tanjung Labian, ke Kampung Sungai Bilis kemudian ke Kampung Lok Buani,” katanya pada Sidang Media Op Daulat di Felda Residence Sahabat, di sini, semalam.


Difahamkan, kedua-dua kampung itu yang masih belum bebas pengganas adalah Kampung Sungai Nyamuk dan Kampung Lok Buani.


Antara kampung lain yang berada dalam Zon Merah sebelum ini termasuk Kampung Tanduo, Kampung Tanjung Batu, Kampung Tanjung Labian, Kampung Sungai Bilis, Kampung Sungai Merah, Kampung Sungai Lok Sembuang yang terletak dalam Gugusan Labian.

Hamza berkata, berdasarkan perkembangan terbaru itu, penduduk Kampung Tanjung Labian akan dibawa masuk untuk meninjau kerosakan rumah mereka hari ini (semalam).


Beliau berkata, usaha itu bagi membolehkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melakukan penilaian kerosakan di kampung itu.

Dalam pada itu, katanya, penduduk Kampung Tanjung Batu yang rumah mereka tidak mengalami kerosakan teruk boleh kembali ke penempatan itu hari ini.


“Manakala, bagi penduduk Kampung Tanjung Labian, mereka boleh berbuat demikian pada hari berikutnya (esok),” katanya.


Beliau berkata, sekiranya penduduk tidak boleh mendiami rumah akibat kerosakan teruk atau musnah sama sekali, mereka boleh terus tinggal di pusat pemindahan.

No comments:

Post a Comment