Saturday, March 30, 2013

Penduduk sebak lihat rumah musnah



MAHMUD berdoa selepas melihat rumahnya yang musnah selepas diserang pengganas Sulu
di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu semalam.


LAHAD DATU - Suasana sayu menyelubungi Kampung Tanjung Batu di sini ketika seramai 30 penduduk pertama kali menjejakkan kaki ke perkampungan itu selepas hampir sebulan diceroboh pengganas Sulu.
Penduduk tersebut yang terdiri daripada ketua-ketua keluarga sebak melihat rumah yang dibina hasil titik peluh sejak berpuluh tahun lalu musnah dalam sekelip mata bagaikan menjadi 'padang jarak padang tekukur'.
Mereka yang masih ditempatkan di pusat pemindahan turut terkejut apabila melihat ribuan peluru dan kelongsong peluru bertaburan di atas jalan raya dan kawasan sekitar termasuk di pekarangan rumah dan kawasan semak samun.
Ketua Kampung Tanjung Batu, Mahmud Malang berkata, tidak pernah terlintas di fikiran, kampung tersebut menerima nasib demikian yang berpunca daripada pencerobohan oleh pengganas Sulu pada 12 Februari lalu.
"Kalau tanya soal perasaan, memang saya rasa sangat marah. Dua buah rumah saya hancur dan dibakar.
"Dua buah kereta dan kebun saya juga rosak. Saya terpaksa menanggung kerugian lebih RM50,000," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mengulas lanjut, Mahmud memberitahu, kampung yang wujud kira-kira 60 tahun lalu mempunyai 107 buah rumah yang dihuni kira-kira 450 penduduk yang rata-ratanya adalah warga tempatan.
Sementara itu, kebanyakan penduduk di kampung itu pula bekerja sebagai petani.

SEBAHAGIAN daripada penduduk yang dibawa melawat untuk melihat keadaan kawasan kampung mereka yang rosak atau musnah.


Katanya, kerosakan rumah tersebut tidak dapat dielakkan ekoran pertempuran antara pasukan keselamatan negara ini dengan kumpulan pengganas terbabit.
"Kami menyokong tindakan pasukan keselamatan namun apa yang kami kesal adalah perbuatan pengganas terhadap Kampung Tanjung Batu.
"Mereka (pengganas) bukan sahaja menyusahkan penduduk kampung kerana kami terpaksa berpindah malah memusnahkan penempatan kami," jelasnya.
Mahmud menjelaskan, mereka membuat keputusan untuk tinggal di kampung tersebut selepas mengadakan perbincangan dengan para penduduk.
Dalam pada itu, seorang penduduk lain, Shahrin Jamaril, 22, melahirkan rasa sedih apabila rumah yang dibina hasil titik peluh keluarganya sejak 20 tahun lalu telah musnah.
John Dulahab, 62, pula memberitahu, dia bersyukur kerana kerosakan rumah yang dialaminya tidak sebegitu teruk berbanding rakan-rakan yang lain.
"Apa yang dikesalkan adalah kad pengenalan anak saya hilang selain sebuah motosikal," katanya.
Sementara itu, petugas media yang turut dibawa bersama dapat melihat sendiri dengan jelas kemusnahan di kampung itu mendapati hampir setiap rumah berlubang, rosak, tidak lengkap dengan ada atap dan pagar rumah hancur.
Para petugas media itu turut menemui kesan darah, pisau dan parang kecil di beberapa rumah serta kasut but hitam milik pengganas di sebatang anak sungai.

No comments:

Post a Comment