Saturday, April 13, 2013

Jepun letak misil Patriot di Okinawa




Tentera Jepun memasang pemintas peluru berpandu PAC-3 dekat Kementerian Pertahanan ketika keadaan terus tegang berikutan amaran Korea Utara melancarkan serangan. - Foto AP
Tokyo: Jepun akan menempatkan peluru berpandu Patriot di Okinawa secara kekal mulai bulan ini sebagai sebahagian usaha meningkatkan keupayaan pertahanan berikutan kebimbangan ancaman peluru berpandu Korea Utara.

Menteri Pertahanan Jepun, Itsunori Onodera, berkata pihaknya akan meletakkan kelengkapan sistem ‘Patriot Advanced Capability 3’ atau PAC-3 di dua pangkalan tentera di pulau selatan Jepun seawal April.
PAC-3 bertindak sebagai pemintas peluru berpandu. Kementerian itu sebelum ini merancang menghantarnya bermula Mac 2015.

“Kami menimbang untuk mempercepat pelan melindungi nyawa dan harta benda penduduk daripada serangan peluru berpandu balistik,” kata Onodera kepada media.

Kemungkinan perang

Negara itu masih berwaspada penuh menjelang kemungkinan pelancaran peluru berpandu jarak sederhana oleh Korea Utara.

Agensi perisikan Korea Selatan berkata, Korea Utara menyiapkan dua peluru berpandu jarak sederhana untuk dilancarkan segera di pantai timurnya meskipun diberi amaran oleh sekutunya China supaya mengelak melakukan provokasi.
Sebagai tambahan kepada PAC-3, kapal pemusnah Aegis dilengkapkan dengan pemintas peluru berpandu dihantar ke Laut Jepun.

Agensi perisikan tentera Amerika Syarikat menyatakan Pyongyang ada keupayaan untuk melancarkan senjata nuklear peluru berpandu antara benua.

Bagaimanapun, laporan Agensi Risikan Pertahanan (DIA) disangkal Jabatan Pertahanan yang menegaskan bahawa Korea Utara tidak mempunyai peluru berpandu nuklear.

Jurucakap Pentagon, George Little, berkata ia mungkin tidak tepat untuk mengatakan bahawa Korea Utara sudah membuat ujian penuh, membangun atau menunjukkan keupayaan nuklear seperti dinyatakan dalam laporan DIA.

Kenyataan itu dibuat selepas seorang ahli perundangan membaca laporan DIA yang menunjukkan perubahan pandangan Washington terhadap program nuklear Korea Utara.

DIA berkata, penganalisis Amerika yakin Korea Utara memiliki senjata nuklear yang berupaya menghantar peluru berpandu balistik, tetapi kewujudan senjata itu adalah ‘rendah’.

Laporan risikan itu menandakan kali pertama kerajaan Amerika memperakui Korea Utara berjaya untuk mengecilkan bom nuklear supaya boleh dimasukkan dalam peluru berpandu.

AFP

No comments:

Post a Comment