Tuesday, April 16, 2013

Jokowi calon popular presiden



Jakarta: Di sebalik pengakuan bahawa dia tidak bertanding dalam pilihan raya presiden pada 2014, Gabenor Jakarta Joko Widodo (Jokowi) menjadi calon paling popular kesan daripada laporan negatif media terhadap hampir semua parti politik utama Indonesia.

Laporan berterusan mengenai masalah Parti Demokrat pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan skandal rasuah membabitkan pemimpin Parti Keadilan Sejahtera Luthfi Hasan Ishaaq misalnya, tidak sekadar merosakkan imej parti, malah meningkatkan populariti tokoh alternatif seperti Jokowi.


Kajian Institut Pol-Tracking menyatakan, rakyat mahukah tokoh baru berbanding memberi tumpuan kepada pemimpin dicalonkan parti masing-masing.

Pengarah eksekutif institut itu, Hanta Yudha berkata, prestasi sebagai gabenor berjaya menarik perhatian media yang sering memberikan liputan untuknya.


“Hasilnya, rakyat mahu Jokowi menjadi presiden walaupun dia tak pernah mengumumkan dirinya sebagai calon,” katanya. Keputusan kajian Institut Pol-Tracking itu diperoleh hasil penelitian terhadap laporan media terhadap parti politik dan calon presiden di antara Februari dan Mac tahun ini. Penyelidik menganalisis 15 saluran media membabitkan lima media cetak, dalam talian dan televisyen.


Menurut keputusan kajian, ada 86 berita disiarkan media bagi membincangkan peluang Jokowi pada 2014. Ia mengatasi perhatian diberikan terhadap calon presiden mewakili Parti Gerakan Indonesia Raya Prabowo Subianto yang mendapat 55 kali liputan serta Aburizal Bakrie (Golkar) dengan 52 kali liputan walaupun kempen besar-besaran menaikkan imejnya dijalankan. Calon Parti Amanat Nasional yang juga Menteri Ekonomi Indonesia Hatta Rajasa hanya mendapat 27 kali liputan. Jokowi yang menyertai Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan enggan melayan keputusan kaji selidik yang meletakkannya sebagai calon paling popular. “Saya tak mahu memikirkan mengenai kaji selidik kerana masalah banjir dan kesesakan lalu-lintas lebih penting,” katanya. - Jakarta Post

No comments:

Post a Comment