Saturday, April 20, 2013

Penduduk lantik ketua balai polis



Untuk kali pertama dalam sejarah, polis Indonesia membenarkan orang awam melantik sendiri ketua balai polis masing-masing walaupun hanya di peringkat rendah.

Semalam, penduduk Kampung Laras dan daerah Bandar Huluan, Sumatera Utara, memilih seorang daripada tiga pegawai kanan polis untuk menjadi ketua pasukan itu. Tiga calon diberikan peluang memperkenalkan diri masing-masing dan membentangkan perancangan masa dean sebelum dipilih orang awam. Mereka ialah Tua Raja Tambunan, Lambas Sianipar dan G Saragih.


Dalam pengundian langsung, Lambas mendapat 80 peratus undi daripada kira-kira 300 penduduk yang menyertai pemilihan itu.

Tidak seperti pilihan raya, undian itu hanya dijalankan secara angkat tangan. Pemilihan itu dilakukan bagi mencari pengganti ketua balai polis di kawasan itu, Kastel Sitorus yang meninggal dunia baru-baru ini. Ketua Polis Simalungun, Andi S Taufik mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung yang mengambil bahagian dalam pemilihan itu.


Kata Andi, polis akan mengeluarkan surat pengesahan pelantikan Lambas selewat-lewatnya sebulan lagi. “Kami akan mempertimbangkan keputusan undian serta rekod pegawai terbabit dalam mesyuarat dalaman bagi menentukan ketua polis akan datang,” katanya. Sebenarnya, kata Andi, mekanisme pelantikan itu tidak tercatat dalam peraturan polis, namun pihak berkuasa sedia mempertimbangkan kaedah itu bagi mengeratkan lagi hubungan dengan masyarakat.


Andi berkata, pemilihan itu dicadangkan selepas seorang ketua balai polis di Dolok Pardamean, Andar Siahaan serta tiga anggotanya dibelasah selepas cuba menahan seorang tauke judi pada 27 Mac lalu. Isteri tauke judi itu menghasut orang kampung dengan mendakwa Dolok dan anggotanya sebagai pencuri.

Dolok meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

No comments:

Post a Comment