BAGHDAD 19 April - Seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di dalam sebuah kafe terkemuka di sini, hari ini menyebabkan 37 orang terkorban dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan terburuk di ibu negara ini, pada tahun ini.
Serangan di barat Baghdad itu berlaku beberapa hari sebelum berlangsung pilihan raya wilayah dan merupakan ujian terbesar terhadap kestabilan politik di Iraq, selepas lebih setahun tentera Amerika keluar dari negara ini.
Polis dan saksi berkata, pekerja bantuan bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan yang turut menempatkan sebuah pusat membeli-belah di bawah kafe yang terletak di tingkat tiga bangunan tersebut.
"Ini merupakan letupan yang kuat,'' kata seorang anggota polis di tempat kejadian.
Menurutnya, sebahagian bangunan itu runtuh dan serpihan runtuhan bangunan tersebut terkena orang awam yang membeli-belah di bahagian bawah bangunan tersebut.
Lebih 30 orang terbunuh dalam beberapa siri serangan bom di bandar ini, awal minggu ini menyebabkan beberapa calon pilihan raya turut terkorban.
Pegawai keselamatan menjangkakan lebih banyak serangan akan berlaku sebelum Sabtu ini, pada hari berlangsung pilihan raya wilayah.
- REUTERS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130420/lu_08/Serangan-berani-mati-di-Baghdad-37-maut#ixzz2R0DLniUL
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment