Thursday, May 23, 2013

19,781 warga asing kahwin penduduk tempatan


 
Kota Kinabalu: Prosiding Suruhanjaya Diraja (RCI) Pendatang Asing Sabah semalam diberitahu, 19,781 warga asing lelaki dan wanita berkahwin dengan penduduk tempatan sejak 2000 sehingga Oktober tahun lalu.

Perkara terbabit dimaklumkan saksi ke-78, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pentadbiran Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS), Baharuddin Alwi, pada sesi pendengaran di depan pengerusinya, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.
Soalan mengenainya dikemukakan Pegawai Pengendali RCI, Datuk Azmi Ariffin, bagi menunjukkan perkahwinan antara warga asing dengan penduduk tempatan adalah antara faktor berlakunya peningkatan penduduk negeri ini.

Baharuddin berkata, lelaki warga asing yang berkahwin dengan penduduk tempatan kebanyakannya berasal dari Filipina, Indonesia dan Bangladesh manakala wanita warga asing berasal dari Indonesia serta Filipina.

“Kita membenarkan mereka berkahwin selepas mematuhi syarat ditetapkan iaitu mempunyai dokumen pengenalan diri yang diakui pihak berkuasa.

Tujuh etnik

“Bagaimanapun, kita tidak membenarkan penggunaan pas bekerja,” katanya ketika menjawab soalan Azmi pada prosiding di Kompleks Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di sini, semalam.
Saksi ke-77, Penolong Pengarah Unit Kanak-Kanak Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Mohd Azlan Hussin, berkata 1,455 kanak-kanak berusia enam hingga 18 tahun tidak mempunyai kewargarnegaraan ditempatkan di Rumah Perlindungan Ehsan dikendalikan Pasukan Petugas Khas Persekutuan (Sabah dan Labuan) sejak Jun 2007 sehingga Oktober 2012.

Katanya, daripada jumlah itu 902 orang berusia 15 hingga 18 tahun, 13-14 tahun (348), enam hingga 12 tahun (205 orang) manakala dari segi jantina, seramai 1,119 adalah lelaki dan 336 perempuan.

“Mereka dipecahkan kepada tujuh etnik kumpulan iaitu Sulu, Bajau, Bugis, Buton, Tatur serta lain-lain merangkumi Kagayan, Ayakan, Timur dan Pakistan.

“Kita mengalami kesukaran kerana kanak-kanak itu tidak dapat menentukan kewarganegaraannya. Mereka tidak ada ibu bapa atau penjaga yang boleh dikesan,” katanya. Prosiding bersambung hari ini.

No comments:

Post a Comment