Thursday, May 23, 2013

Syarikat makanan di Balkan tingkatkan pengeluaran produk halal



SEORANG pekerja Bosnia mengatur sosej halal untuk dibungkus di sebuah kilang makanan dekat Sarajevo pada 16 Mei lalu.- AfP


SARAJEVO - Dalam usaha menangani krisis ekonomi di Balkan, para pengilang makanan di rantau ini kini memberi tumpuan untuk mengeluarkan makanan halal bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di negara-negara Barat dan Islam.
Pada satu pameran makanan halal yang pertama di Balkan yang berlangsung di ibu kota Bosnia di sini, sekitar 30 pengeluar makanan di rantau berkenaan berkumpul untuk memperkenalkan produk mereka termasuk, keju, manisan, minyak masak dan barangan kosmetik.
"Pasaran halal mewakili lebih satu bilion orang di seluruh dunia. Ia merupakan pasaran baharu tetapi memiliki kuasa beli yang penting," kata seorang penganjur festival makanan halal tersebut, Amel Kovacevic.
Menurutnya, permintaan produk halal pula meningkat antara 10 hingga 20 peratus pada setiap tahun.
Selain kos buruh yang rendah, katanya, rantau Balkan juga merupakan lokasi strategik untuk pengeluar makanan halal kerana ia terletak di kawasan Mediterranean sekali gus hampir dengan pasaran Asia Barat dan Eropah.
Kilang Brajlovic yang terletak dekat Sarajevo merupakan antara 150 pengeluar makanan di Balkan yang memperoleh sijil halal untuk mengeluarkan 2,000 produk makanan.
Sejumlah syarikat makanan di rantau Balkan seperti di Croatia, Serbia, Montenegro Macedonia turut berusaha mendapatkan sijil halal walaupun negara-negara tersebut mempunyai bilangan penduduk Islam yang kecil.
Jumlah produk halal yang dikeluarkan dari Balkan meningkat sehingga 40 peratus dengan jualan tahunan kini dianggarkan sekitar 550 juta euro (RM2 bilion). - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0523&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2U4ABaxaH 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment