Thursday, May 23, 2013

Mohamad Salleh setuju bayar Shamsubahrin RM2.75 juta untuk konsultasi


KUALA LUMPUR 22 Mei - Bekas Pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa beliau bersetuju membayar sejumlah RM2.75 juta kepada ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail bagi perkhidmatan nasihat dan konsultansi untuk tempoh 12 bulan.
Mohamad Salleh, 65, berkata, persetujuan itu dibuat secara lisan bagi mendapatkan perkhidmatan yang merangkumi kepakaran dalam bidang korporat, media dan perhubungan awam untuk memulih nama baik syarikat dan keluarga selepas diserang bertalu-talu oleh pembangkang melalui media.
"Serangan tersebut menuduh 'keadaan NFC kucar-kacir', tidak mempamer prestasi yang diharapkan, ada yang kata projek NFC gagal sedangkan projek itu baru bermula pada 2009 iaitu baru beroperasi satu setengah tahun," katanya pada pemeriksaan utama oleh Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa.
Saksi ke-42 pendakwaan itu berkata, beliau setuju bertemu Shamsubahrin buat pertama kali di sebuah restoran di Bukit Tunku selepas tertuduh memberitahu ada seseorang yang sangat penting (VVIP) memintanya membantu Mohamad Salleh mengatasi serangan pembangkang ketika itu.
"Pada mulanya, saya bertanya kepada dia siapa VVIP itu, tetapi dia enggan memberitahu. Jadi saya tidak berminat untuk berurusan dengannya dan bangun untuk pulang, terus dia menyebut nama Tun Dr. Mahathir Mohamad," katanya.
Mohamad Salleh berkata, perwatakan Shamsubahrin yang bersuara lantang serta mempunyai hubungan rapat dengan polis menyebabkan beliau bertambah yakin untuk menggunakan khidmat konsultansi yang ditawarkan.
Selepas RM1.75 juta dibayar kepada Shamsubahrin, Mohamad Salleh mendapati tiada sebarang hasil yang ditunjukkan tertuduh menyebabkan beliau curiga untuk membuat pembayaran selebihnya sebanyak RM1 juta.
Beliau berkata demikian pada perbicaraan Shamsubahrin yang berdepan 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.755 juta mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Shamsubahrin juga berdepan lima pertuduhan menipu Mohamad Salleh membabitkan jumlah sama mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang juga isteri Mohamad Salleh berkata, beliau berasa curiga kerana tertuduh menggunakan nama Dr. Mahathir namun perkara itu tidak dimaklumkan kepada sesiapa.
Shahrizat, 56, berkata beliau bercakap dengan Shamsubahrin melalui telefon setiausaha sulitnya, Datuk Roziyah Mohd Yusuff, ketika mengerjakan umrah.
Dalam perbualan itu, Shahrizat memberitahu Shamsubahrin bahawa beliau tidak ada kena mengena dengan NFC dan meminta tertuduh menghubungi sendiri Mohamad Salleh. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130522/ma_09/Mohamad-Salleh-setuju-bayar-Shamsubahrin-RM275-juta-untuk-konsultasi#ixzz2U4HUV8Pt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment