Monday, May 27, 2013

28 terbunuh di timur India


Pasukan keselamatan India mengangkat satu mayat mangsa serangan pemberontak Mao di Bastar, kira-kira 345 kilometer ke selatan Raipur, negeri Chhattisgarh, India, semalam. - AP
NEW DELHI 26 Mei - Sebanyak 28 orang terbunuh dan 24 lagi cedera, selepas kira-kira 200 suspek pemberontak Mao menyerang konvoi kereta yang membawa pemimpin dan penyokong parti pemerintah, Parti Kongres India di timur India, semalam
Pegawai Kanan Polis, M. Gupta berkata, pemberontak bertindak meletupkan periuk api dan melepaskan tembakan ke arah konvoi itu di Sukma, kira-kira 345 kilometer di selatan Raipur, ibu negeri Chhattisgarh.
Menurut pegawai polis negeri, Ram Niwas, konvoi diserang di kawasan hutan ketika anggota Parti Kongres dalam perjalanan pulang ke ibu negeri selepas menghadiri perhimpunan parti.
Seorang lagi pegawai polis, RK Vij berkata, kedua-dua pemimpin Parti Kongres negeri dan lima pegawai polis adalah antara mereka yang terbunuh, termasuk pemimpin Kongres negeri Chhatisgarh, Mahendra Karma, yang mengasaskan sebuah pertubuhan tempatan, Salwa Judum, untuk memerangi pemberontak Mao.
"Pemberontak turut menculik seorang pemimpin parti itu, Nand Kumar Patel dan anaknya," katanya.
Vij berkata, pemberontak disyaki meletupkan periuk api pada salah sebuah kereta terbabit sebelum menembak pemimpin dan penyokong parti tersebut dan kemudian melarikan diri.
Berdasarkan laporan agensi berita India, The Press Trust, pemberontak telah bertindak menyekat jalan tersebut dengan menebang pokok.
Parti Kongres merupakan parti pembangkang utama di negeri itu dan mengadakan kempen untuk pilihan raya negeri yang bakal diadakan pada Disember ini.
Pemberontak yang dikenali sebagai Naxalites, telah menentang kerajaan pusat selama lebih empat dekad bagi menuntut tanah dan pekerjaan untuk golongan petani dan golongan miskin.
Perdana Menteri, Manmohan Singh berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pemberontak terbabit. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130527/lu_04/28-terbunuh-di-timur-India#ixzz2US3bmyos
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment