Monday, May 27, 2013

Dua bekas tahanan ISA ditahan semula



27 Mei 2013
KUALA LUMPUR - Dua bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Yazid Sufaat dan Muhammad Hilmi Hasim yang dilepas serta dibebaskan Mahkamah Tinggi Jalan Duta 20 Mei lepas, ditahan semula hari ini.
   
Pengarah Jabatan Petugas Khas dan Anti Pengganas Bukit Aman Datuk Mohamad Fuzi Harun ketika dihubungi Bernama, berkata kedua-dua mereka ditahan mengikut Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan.
   
"Mereka ditahan pukul 7.40 pagi ini di Sungai Buloh dan Ampang," katanya yang bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai penahanan berkenaan.
   
Kedua-dua mereka serta seorang lagi sebelum ini dituduh terlibat dalam aktiviti menggalakkan keganasan di Syria.
   
Hakim Kamardin Hashim bagaimanapun melepas dan membebaskan ketiga-tiganya selepas membenarkan permohonan mereka untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapi.
   
Yazid, 49, pengusaha kafeteria di Kompleks Mahkamah Jalan Duta sebelum ini berdepan pertuduhan menggalakkan keganasan bagi mengugut orang awam di Syria manakala rakannya, Halimah Hussein dan pembantu kafeteria Muhammad Hilmi didakwa bersubahat dengan Yazid melakukan kesalahan itu.
   
Mengikut kertas pertuduhan, mereka melakukan kesalahan itu untuk memajukan suatu ideologi, dan perbuatan itu diniatkan bagi mengugut orang awam di Syria di sebuah rumah di Taman Bukit Ampang antara 8.30 pagi dan 10.30 pagi pada 1 Ogos hingga 20 Okt 2012.- Bernama

No comments:

Post a Comment