Thursday, May 2, 2013

3 anggota TUDM buat laporan polis

Kepala Batas: Tiga anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Butterworth, dekat sini, membuat laporan polis berhubung isu dakwat kekal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Seberang Perai Utara (SPU), jam 10.30 pagi semalam.

Laporan itu dibuat bagi menyangkal dakwaan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, yang mendakwa dakwat yang dicalit di atas jari setiap pengundi dapat bertahan tujuh hari. Bagaimanapun, Mejar Zaidi Ahmad, 45, mendakwa dakwat itu tanggal sejurus dia mencuci jarinya yang dicalit dengan dakwat menggunakan sabun pencuci pinggan.


“Saya membuang undi pada jam 12 tengah hari semalam (kelmarin). Selepas beberapa jam, saya ingin mencuba sama ada dakwat ini kekal atau tidak. Saya terkejut apabila mencuci dengan sabun basuh pinggan, dakwat itu hilang dan jari yang dicalit dengan dakwat berwarna merah saga itu menjadi bersih,” katanya.


Juruteknik TUDM, Jamal Ibrahim, 41, berkata, dia tidak takut membuat laporan polis itu kerana ia adalah tanggungjawabnya bagi memastikan proses PRU-13 berjalan lancar.


“Jika takut saya tidak datang membuat laporan polis tetapi atas dasar tanggungjawab seperti yang dipupuk dalam amalan tentera, saya beranikan diri tampil supaya proses PRU13 tidak dicemari.


“Tindakan saya ini kerana bimbang terdapat pengundi yang mengundi dua kali pada PRU13,” katanya.

Turut membuat laporan polis ialah Isteri Zaidi yang juga seorang anggota TUDM, Sharil Aida Sabu, 46, turut membuat laporan polis mahu SPR lebih peka terhadap penggunaan dakwat kekal itu.

No comments:

Post a Comment