Friday, May 10, 2013

7 disyaki pengganas mati ditembak



Jakarta: Polis Indonesia menembak mati tujuh suspek pengganas dalam serbuan sejak dua hari lalu.

Ada di kalangan mereka turut didakwa terbabit dengan komplot untuk mengebom kedutaan Myanmar, kata pihak berkuasa semalam.
Tiga belas suspek ditahan hidup-hidup ketika unit elit polis menyerbu beberapa rumah di pulau Jawa, dalam operasi anti-keganasan terbesar di Indonesia sejak beberapa bulan lalu.

Selain menyiasat kaitan dengan komplot mengebom kedutaan selepas kemarahan memuncak di Indonesia berikutan keganasan anti-Islam di Myanmar, polis menyasarkan pengumpul dana mereka di Poso, Sulawesi Tengah.

Dalam serbuan terbaru, polis menembak mati tiga suspek di sebuah rumah sewa di daerah Kebumen, Jawa Tengah dan menahan empat lain pagi semalam selepas 15 jam berbalas tembakan, kata jurucakap polis, Boy Rafli Amar.

Mereka menentang dan membalas tembakan, katanya kepada media sambil menambah lelaki terbabit disyaki terbabit dalam rompakan bagi membiayai kumpulan militan digelar Mujahidin Indonesia Timur (MIT).

Bom paip, bom tangan dan pistol dirampas dari kediaman itu, kata ketua polis tempatan, Heru Prisasono.
Amar berkata, polis juga menyiasat jika mereka dikaitkan dengan satu komplot yang dibongkar minggu lalu untuk mengebom kedutaan Myanmar.

Lelaki ditembak mati

Kelmarin, polis menembak tiga lelaki disyaki terbabit dalam komplot Myanmar yang berkurung di sebuah rumah di Bandung, Jawa Barat. Pembunuhan itu diikuti pertempuran tujuh jam apabila lelaki terbabit membaling bom buatan ke arah polis.

Dalam satu serbuan berasingan pada hari sama, polis di daerah Batang, Jawa Tengah, menembak mati seorang lelaki dan menahan suspek kedua yang merompak kedai barang kemas untuk membiayai aktiviti pengganas. Polis melakukan kira-kira 10 serbuan di seluruh Jawa.

Menurut sumber, lelaki terbabit dilaporkan menganggotai rangkaian pengganas bertanggungjawab mengimport senjata dari Filipina dan bekerja dengan seorang pengganas, Abu Omar.

Mereka berjaya kumpul 1.8 bilion rupiah (RM549,000) hasil rompakan selain terbabit dalam kebakaran di Pasar Glodok di Jakarta, katanya.

Operasi anti-keganasan itu dilakukan selepas polis minggu lalu menahan dua lelaki disyaki merancang mengebom kedutaan Myanmar di sini.

Myanmar dilanda keganasan antara penganut agama sejak beberapa bulan lalu yang menyebabkan ramai majoriti penduduk Islam maut dan kehilangan tempat tinggal.
AFP/AGENSI

No comments:

Post a Comment