Friday, May 10, 2013

Mahkamah nasihat Jimmy, Nursuhaila damai



SHAH ALAM 9 Mei - Pelakon dan pengacara, Jimmy Shanley serta bekas isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy dinasihatkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini supaya tidak memanjangkan isu anak demi kebajikan anak perempuan tunggal mereka, Zahra Rania.
Hakim Syarie, Mawardi Che Man yang mendengar permohonan bekas isteri Jimmy, Nursuhaila untuk mengantung perintah berhubung hak bermalam yang diberikan oleh mahkamah kepada Jimmy menasihati agar kedua-dua pihak tidak membuatkan perkara mudah menjadi rumit.
“Isu bermalam ini tiada pemberat, jika saya menggantung perkara yang tidak sahih akan menjadikan perintah asal tergantung.
“Saya menasihatkan lebih baik perintah mahkamah itu dipinda daripada digantung kerana ia akan mencacatkan perintah asal," kata beliau.
Mawardi juga mencadangkan sekiranya Nursuhaila ingin menggantung perintah, adalah lebih baik menggantung kesemua perintah bagi mengelakkan kelompongan dan ketidakadilan dalam undang-undang.
Beliau turut berharap agar mana-mana pihak tidak menggunakan undang-undang untuk kepentingan diri sendiri.
Pada 8 April lalu, mahkamah tersebut memberikan hak jagaan penuh Zahra Rania yang kini berusia setahun 10 bulan kepada Nursuhaila, 27, sementara Jimmy, 33, diberikan hak lawatan dan bermalam dengan anaknya selama tiga hari setiap minggu iaitu Selasa, Rabu dan Khamis.
Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Saleh turut dibenarkan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha bersama Zahra Rania bermula tahun ini secara bergilir-gilir dengan Nursuhaila.
Terdahulu, peguam syarie, Sa‘adiah Din yang mewakili Nursuhaila menyatakan, pihaknya memfailkan permohonan penggantungan perintah tersebut pada 19 April lalu.
Tambahnya, hanya sebahagian perintah mahkamah yang ingin digantung iaitu hak bermalam dan yang selebihnya masih berjalan seperti biasa.
Mawardi kemudian memerintahkan kedua-dua pihak mengikut perintah yang telah diberikan dalam kes hadanah pada 8 April lalu sehingga kes pindaan itu didengar.
Beliau turut menetapkan 13 Mei ini untuk pihak pemohon memasukkan pindaan manakala 27 Mei dan 3 Jun masing-masing ditetapkan untuk kedua-dua pihak memasukkan afidavit jawapan dan afidavit balas.
Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Nursuhaila berkata, dia tiada niat untuk mengingkari perintah mahkamah dengan sengaja.
Menurutnya, dia tidak bermaksud menghalang Jimmy untuk melawat dan bersama anak mereka namun demi kebajikan anaknya yang masih bayi, dia membuat permohonan untuk hak bermalam ditangguhkan sehingga anaknya boleh mengurus diri sendiri.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130510/ma_02/Mahkamah-nasihat-Jimmy-Nursuhaila-damai#ixzz2SpvWIlnt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment