Wednesday, June 5, 2013

Anggota polis terbabit kematian Dhamenderen didakwa hari ini


KUALA LUMPUR: Anggota polis yang disyaki terbabit dengan kes kematian tahanan di dalam lokap, N Dhamenderen, akan dihadapkan ke mahkamah petang ini atas tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, laporan kertas siasatan sudah diserahkan kepada jabatannya semalam selepas pasukan khas ditubuhkan polis sebelum ini selesai menjalankan siasatan terhadap kematian Dhamenderen, 31.
"Berdasarkan keterangan yang diperoleh menerusi siasatan itu, saya telah memutuskan untuk menuduh anggota polis yang terlibat atas tuduhan membunuh," katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata walaupun kejadian itu dikesali, tindakan segera diambil polis dalam kes kematian Dhamenderen adalah membanggakan dan menggambarkan komitmen pasukan itu untuk menegakkan kewibawaan institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dhamenderen meninggal dunia dalam selnya di lokap Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur pada 21 Mei lepas semasa dia ditahan reman berhubung kes cubaan membunuh membabitkan senjata api.

Dia ditahan reman selama 10 hari mulai 12 Mei lalu.

Abdul Ghani berkata, berdasarkan bedah siasat dijalankan Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mei, punca kematian didapati sebagai kecederaan akibat hentakan objek tumpul.
"Jabatan Peguam Negara memandang serius kejadian terbaru kematian tahanan semasa dalam agensi penguatkuasaan ini dan komited untuk menangani mengikut undang-undang sebarang salah laku yang telah menyebabkan kematian Dhamenderen," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment