Wednesday, June 5, 2013

Kematian tahanan: Adakah hasrat EAIC terhalang?


Harakahdaily,05 Jun 2013

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia berpandangan kes tahanan mati di dalam lokap polis mesti disiasat sepenuhnya oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, PDRM perlulah menghentikan penyiasatan mereka sebagaimana yang ditegaskan melalui Akta 700 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 3 September 2009 bagi membolehkanEAIC menyempurnakan siasatan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh dalam satu kenyataan menambah, Ketua Polis Negara pula disaran menunjukkan kepimpinan dengan memberikan komitmen agar keputusan penyiasatan EAIC kelak diterima oleh PDRM tanpa beralasan panjang.

Berikut kenyataan penuh beliau.

1. Kematian P Karuna di dalam tahanan polis adalah kes serupa yang ketiga berlaku dalam tempoh 2 minggu dan merupakan kes kelapan yang direkodkan sehingga Mei/Jun 2013. Ianya telah menimbulkan wasangka awam yang melihat pihak polis mengamalkan street justice dan menekankan aspek profil perkauman di dalam mengurus suspek yang ditahan.

2. Dewan Pemuda PAS Malaysia berpandangan kes-kes seperti ini mesti disiasat sepenuhnya oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC). PDRM perlulah menghentikan penyiasatan mereka sebagaimana yang ditegaskan melalui Akta 700 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 3 September 2009 bagi membolehkan EAIC menyempurnakan siasatan. Ketua Polis Negara pula disaran menunjukkan kepimpinan dengan memberikan komitmen agar keputusan penyiasatan EAIC kelak diterima oleh PDRM tanpa beralasan panjang.

3 SIAP juga seharusnya mengambil inisiatif memulakan penyiasatan tanpa menunggu aduan dan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Aduan/Penyiasatan serta merta apatah lagi ketika mana masyarakat awam rata-ratanya menuntut satu penyiasatan bebas dan berkecuali ke atas PDRM. Namun demikian, sikap diam, tunggu dan lihat EAIC di dalam insiden-insiden ini sesungguhnya menimbulkan banyak persoalan.

4 Persoalan pertama; sejauh mana persediaan EAIC dari segi struktur dan kompetensi penyiasatan setelah lebih 2 tahun ditubuhkan? Apakah EAICmempunyai kesiapsiagaan yang diperlukan bagi memulakan penyiasatan serta-merta ketika suasana mendesak keadilan diperolehi seberapa segera yang mungkin?

5. Persoalan kedua; adakah pengumuman PDRM bahawa penyiasatan oleh pasukan petugas khas Bukit Aman serta pengumuman Jawatankuasa Khas Mencegah Kematian Dalam Tahanan yang diketuai oleh Ketua Polis Negara telah menghalang hasrat EAIC untuk campurtangan? Sekiranya ini senarionya, maka risiko "turf war" antara birokrasi telah menjadi jelas dan keadaan ini boleh membantutkan proses keadilan.

6. Persoalan ketiga; dengan jumlah aduan paling besar (120 aduan sehingga Jun 2012) adalah terhadap PDRM, apakah isu penubuhan IPCMC yang dianggap tiada keperluan oleh pemerintah, kekal relevan khusus untuk menangani insiden-insiden membabitkan pasukan polis, yang merupakan antara agensi awam terpenting negara?

7. Pengakuan Ketua Polis Kuala Lumpur di dalam siaran media 22 Mei 2013 mengenai kehadiran unsur jenayah di dalam kes kematian N. Dharmendran ketika di dalam tahanan sebagaimana dapatan post-mortem HKL seharusnya memberikan SIAP justifikasi untuk memulakan siasatan di bawah Kanun Jenayah. Ini akan membolehkan EAIC memuktamadkan proses penyiasatan terus ke Jabatan Peguam Negara.

8. Pada masa yang sama, selaku suruhanjaya bebas, EAIC digesa mengkaji semula perjawatan dan peranan Datuk Paul Low Seng Kuan yang merupakan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya. Tindakan beliau menghubungi keluarga mangsa tahanan di atas kapasiti Menteri JPM telah menimbulkan persepsi negatif dan memerlukan respons segera kerana ianya boleh menjejaskan wibawa EAIC.

9. Saya akan segera mengusahakan satu pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri bagi membawa persoalan-persoalan yang telah dibangkitkan sekembalinya dari mengerjakan ibadah umrah kelak.

10. Di hadapan Baitullah ini saya memanjatkan munajat kepada Allah agar kita semua diberikan kekuatan untuk menemukan keadilan bagi rakyat yang mendambakan kebenaran. 
-harakahdaily

No comments:

Post a Comment